Faizul Azlan Razak


Setiu: Suami isteri maut, manakala anak mereka parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk lori di KM 46 Kampung Selamat, Sungai Tong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, Faizul Azman Awang, 43, dan isterinya, Habsah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anak mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, parah di muka.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan itu membabitkan lori dipandu lelaki usia 28 tahun, Proton Exora, Nissan Navara, Perodua Axia dan Toyata Wish.

Katanya, tiga beranak itu yang beralamat di Taman Balok Permai, Kuantan, Pahang menaiki Proton Exora.

"Seramai 16 individu terbabit dalam kemalangan ini dengan dua mangsa iaitu suami isteri maut di tempat kejadian.

"Anak pasangan itu parah di muka, manakala pemandu Nissan Navara berusia 52 tahun mengalami sakit di bahu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Afandi berkata, pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak cedera.

Katanya, ketika kejadian cuaca baik dan jalan berkenaan dua lorong yang lurus.

ANTARA kenderaan yang terbabit kemalangan di KM46 Kampung Selamat, Sungai Tong hari ini. FOTO Faizul Azlan Razak.
ANTARA kenderaan yang terbabit kemalangan di KM46 Kampung Selamat, Sungai Tong hari ini. FOTO Faizul Azlan Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 8:30 PM