PASUKAN penyelamat membawa jasad seorang  mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali.
PASUKAN penyelamat membawa jasad seorang mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali.
Muhammad Saufi Hassan

Kelmarin, negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang mengorbankan banyak nyawa.

Kejadian itu, sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung tahap keselamatan di kawasan kem perkhemahan yang menjadi tumpuan pengunjung ekopelancongan.

Bagi mendapatkan gambaran lanjut, Kafe Ahad minggu ini mewawancara Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) DR MOHD YUSOFF ISHAK bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

su tanah runtuh menyebabkan ramai maut tertimbus. Adakah selamat berkhemah di lokasi alam semula jadi seperti di lereng bukit atau apakah selamat untuk berkhemah ketika musim hujan?

Tapak perkhemahan di kawasan lereng bukit atau di kawasan hutan ini ada risiko keselamatan masing-masing dan ia bersifat pelbagai mengikut bentuk muka bumi sesuatu kawasan.

Kalau menyentuh soal insiden berlaku di Batang Kali, ia terletak di lereng bukit berhampiran dengan cerun, jadi sudah pastinya risiko utama difikirkan adalah tanah runtuh.

Sebenarnya, dalam apa juga keadaan, perkara paling penting adalah pengurusan risiko seperti apakah pelan kecemasan yang perlu diambil jika berlaku sesuatu bencana?

Bagaimana pula dengan akses laluan utama ke tapak perkhemahan jika bencana itu berlaku, apakah ia boleh dilalui oleh agensi keselamatan dan penyelamat?

Ini semua antara persoalan perlu difikirkan dalam pengurusan risiko kerana setiap tapak perkhemahan itu ada risikonya tersendiri dan ia tidak sama mengikut keadaan sekeliling sesuatu tapak.

Kegagalan cerun menjadi punca tanah runtuh?

Kalau kita lihat visual dikongsi di laman sosial berhubung kejadian di Batang Kali, jelas menunjukkan ada penerokaan serta kelihatan bentuk teres yang diliputi dengan tumbuhan.

Apa yang kita bimbangkan adalah berhubung penerokaan yang tidak dipantau oleh pihak berkuasa secara berterusan.

Jika berlaku pembukaan tanah, kita perlu ambil kira data aliran air bawah tanah terkumpul kerana ia akan mengakibatkan gelinciran tanah jika pengumpulan air ini berada pada tahap kemuncaknya.

Tanah runtuh di negara ini ada beberapa kelas dan pastinya pakar geologi akan melihat contoh runtuhan atau puing yang terhasil daripada insiden berkenaan.

Kegagalan cerun ini boleh berlaku apabila sesuatu kawasan menerima limpahan hujan berterusan dalam kadar yang banyak, ini akan meningkatkan lagi risiko gelinciran tanah.

Jika dilihat, banyak lokasi panas tanah runtuh di Malaysia. Bagaimana Dr melihat usaha yang dilakukan pihak berkuasa untuk mengatasi isu ini setakat ini?

Terkait penerokaan tanah ini, ia diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri untuk memantau dan selalunya tindakan akan diambil selepas insiden berlaku.

Bagaimanapun, kita melihat daripada sudut pencegahan sebelum sesuatu insiden itu berlaku.

Pada pandangan saya, pihak berkuasa tempatan (PBT) ada kepakaran terhad untuk pemantauan cerun ini kerana ia memerlukan data cerapan pengumpulan air bawah tanah.

Jika diwajibkan pemantauan cerapan ini dilaksanakan, ia pastinya mengenakan kos yang tinggi untuk pemilik tapak perkhemahan dan akan mendatangkan kesan kepada perniagaan sesebuah tapak ekopelancongan berkenaan.

Semua faktor ini perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan diambil pada masa depan, kita mementingkan faktor keselamatan pengguna namun pada masa sama perlu juga memikirkan kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha.

Sesuai atau tidak tapak agro dijadikan tapak perkhemahan atau pelancongan?

Kesesuaian sesuatu lokasi berkenaan bergantung kepada kapasiti sesuatu kawasan eko pelancongan atau tapak perkhemahan ini.

Seperti musim tengkujuh yang dihadapi pada setiap tahun, bentuk muka bumi juga berbeza untuk setiap tapak perkhemahan ini jadi perkara utama yang perlu dilihat adalah apakah perubahan iklim sesuatu kawasan itu memberi kesan langsung kepada sesebuah tapak perkhemahan?

Jika ya, sejauh mana kesannya, apakah akan mendatangkan bencana?

Ini semua perlu dilakukan secara teliti, pemantauan berterusan serta data cerapan perlu dilaksanakan daripada semasa ke semasa.

Faktor hujan perlu diambil kira khususnya untuk negara tropika seperti Malaysia ini dan membuat perbandingan apakah data taburan hujan 10 tahun lalu masih sama atau relevan digunakan jika dibandingkan dengan taburan hujan terkini.

Kalau menyentuh aspek tapak perkhemahan di lereng bukit, taburan hujan ini memainkan peranan yang paling penting.

Insiden ini mungkin akan berulang jika tiada tindakan tegas diambil, pendapat Dr?

Ya benar, jika tiada inisiatif diambil maka insiden di Batang Kali contohnya, pastinya bukan yang terakhir berlaku kerana ia ibarat bom jangka.

Kita melihat ada kelompongan dalam isu ini apabila sesebuah premis perniagaan ekopelancongan perlu mendapatkan lesen dengan PBT manakala kepakaran PBT itu terhad.

Jika menyentuh aspek kestabilan cerun atau tanah tinggi, pastinya bidang kepakaran Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Ukur diperlukan untuk meneliti setiap data dan cerapan berhubung aliran air bawah tanah.

Inisiatif yang boleh diambil adalah pihak berkaitan perlu menyenaraikan lokasi cerun berisiko dan pemantauan berterusan perlu dilaksanakan.

Faktor perubahan cuaca dalam masa singkat juga perlu diambil kira kerana ini akan memberi kesan langsung kepada keupayaan cerun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 9:31 AM