ANGGOTA bomba membawa keluar mayat mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Aswadi Alias
ANGGOTA bomba membawa keluar mayat mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Aswadi Alias
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, awal pagi tadi.

Presidennya Meenakshi Raman berkata, pihaknya sebelum ini sudah memberi amaran berhubung kerja tanah dan sebarang bentuk aktiviti lain di tanah tinggi serta lereng bukit yang juga kawasan sensitif alam sekitar.

"Suruhanjaya Siasatan mestilah dijalankan untuk mendapatkan punca sebenar bagi langkah pencegahan serta pemulihan manakala punca utama tragedi itu mestilah disiasat dan didedahkan secara terbuka.

"Bagaimana tapak perkhemahan itu dibenarkan di kawasan berbukit? Gambar menunjukkan bahawa kegagalan cerun yang besar berlaku di bawah lebuh raya berhampiran bahagian atas tapak berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meenakshi berpandangan perlu ada semakan menyeluruh mengenai betapa terdedah atau berdaya tahan sesuatu kawasan kesan daripada peningkatan intensiti dan kekerapan hujan akibat perubahan iklim.

Katanya, SAM turut berpendapat kerajaan harus menyegerakan Pelan Adaptasi Nasional untuk memahami kawasan berpotensi terdedah dan berisiko tinggi kepada kesan iklim dan mengambil langkah segera untuk membina daya tahan iklim di lokasi terbabit.

"Pihak berkuasa juga digesa untuk memantau kawasan lain di lokasi berisiko tinggi di seluruh negara kerana SAM bimbang ia boleh menyebabkan tanah runtuh.

"Siasatan juga perlu dibuat bagi memastikan sama ada langkah keselamatan sudah diambil oleh pemilik bagi mengelakkan risiko kepada pengunjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 4:22 PM