TRAGEDI tanah runtuh di Batang Kali membuka mata banyak pihak tentang beberapa isu keselamatan.
TRAGEDI tanah runtuh di Batang Kali membuka mata banyak pihak tentang beberapa isu keselamatan.
BERNAMA

Aktiviti perkhemahan secara bermalam kini semakin popular dalam kalangan masyarakat, terutama warga kota, kerana tidak perlu pergi jauh untuk bercuti bersama keluarga ataupun sebagai program syarikat dan organisasi.

Namun, tragedi 16 Disember tahun lalu yang menyaksikan 31 nyawa terkorban dalam bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Gohtong Jaya, Selangor, membuka mata banyak pihak tentang beberapa isu, antaranya aspek keselamatan dan kawal selia industri.

Lebih-lebih lagi tapak perkhemahan sebegini tumbuh ibarat cendawan dengan masing-masing pula menawarkan pelbagai pakej menarik.

Menurut pakar, aspek pelesenan dan permit industri pelancongan ini berada di bawah bidang kuasa beberapa pihak termasuk kerajaan negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau Motac, selain Jabatan Pertanian.

Felow Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ahmad Fariz Mohamed berkata, buat masa ini, lesen operasi pusat perkhemahan dikeluarkan oleh Motac serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama pengusaha juga perlu mendapatkan permit guna tanah yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Pertanian negeri.

"Pengusaha mungkin ada lesen operasi, namun mereka mungkin tidak memohon permit guna tanah kerana menyangkakan lesen operasi memadai untuk membolehkan mereka mengusahakan tapak perkhemahan," katanya.

Daripada segi kawal selia guna tanah pula, beliau berkata, tanggungjawab itu tersandar pada kerajaan negeri dan PBT berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, sementara operasi dipantau oleh kerajaan negeri melalui PBT selain Motac sendiri.

Malah, katanya, pengendali juga perlu memohon kelulusan pihak berkuasa bagi menyediakan infrastruktur asas kekal untuk menyokong perkhidmatan mereka.

"Dalam kes di Batang Kali, berdasarkan gambar dikongsikan di Facebook dan laman sesawang mereka, infrastruktur adalah minimum selain hanya sesuai untuk keperluan aktiviti pertanian yang mungkin sudah pun mendapat kelulusan.

"(Justeru), pemilik tapak mungkin beranggapan dia tidak perlu lagi memohon kelulusan bagi pembinaan infrastruktur bersifat kekal itu," katanya.

Mengakui trend tapak perkhemahan komersial atau glamping semakin mendapat tempat di hati penggemar aktiviti luar, Ahmad Fariz berkata, disebabkan sub bidang pelancongan ini masih baharu, kemungkinan besar pengguna sendiri tidak tahu aspek yang perlu diberi perhatian apabila memilih tapak perkhemahan.

"Fokus pengguna lebih kepada kualiti perkhidmatan, keunikan dan nilai estetik berbanding menyemak keperluan keselamatan dan risiko. Lazimnya, masyarakat akan pergi ke tempat yang mempunyai keunikan tertentu seperti yang dipaparkan di media sosial.

"Tidak ramai pengguna menyemak sama ada pemilik atau pengusaha mempunyai lesen untuk mengendalikan tapak perkhemahan.

Di samping itu, tiada syarat yang mewajibkan pemilik memaklumkan kepada pengguna sama ada mereka berlesen atau tidak," katanya.

Namun, tegas beliau, aspek keselamatan persekitaran terletak di bahu pengusaha yang perlu mengenal pasti risiko fizikal dan keadaan tanah di kawasan yang mahu dijadikan tapak perkhemahan.

"Sekiranya ada kawasan yang hendak dibangunkan tapak perkhemahan baharu, pemilik atau pengusaha wajib merujuk kepada garis panduan bagi pembangunan dan operasi di kawasan tanah tinggi, bukit, cerun dan sungai. Jika jelas menunjukkan kawasan itu berisiko tinggi, sepatutnya pembangunan tapak perkhemahan tidak diteruskan.

"Sebahagian besar garis panduan berkaitan dengan pembinaan serta apa sahaja aktiviti di kawasan tanah tinggi, bukit dan cerun sebenarnya boleh diakses dalam talian. Malah, ada dokumen yang boleh dimuat turun di laman sesawang agensi kerajaan dan PBT," katanya.

Menurut beliau, Plan@Malaysia misalnya, membenarkan orang awam memuat turun dokumen berkaitan keperluan bagi merancang dan melaksana projek pembangunan di kawasan tanah tinggi, cerun dan lereng bukit di Semenanjung Malaysia.

"Akses sahaja https://www.planmalaysia.gov.my/index.php/garis-panduan-perancangan," katanya.

Pada masa sama, pengusaha harus mengambil kira faktor perubahan iklim yang kini dihadapi oleh dunia serta kesannya ke atas alam sekitar sebelum membangunkan tapak perkhemahan di satu-satu kawasan.

"Ketika musim tengkujuh, jumlah hujan yang tinggi dalam tempoh masa yang lama akan menyebabkan kawasan berisiko rendah menjadi kawasan berisiko tinggi kerana pergerakan air di bawah tanah tidak dapat dikesan. Jika kawasan yang dibina mempunyai tahap risiko tinggi, terutama semasa musim tengkujuh, sepatutnya tindakan seperti menutup operasi perlu diambil," kata beliau.

Tambah Ahmad Fariz, sekali pun sub bidang itu ada garis panduan, ia tidak dikawal selia oleh satu undang-undang dan tatacara khusus, sekali gus menyebabkan pengusaha beroperasi mengikut "budi bicara" dan "kefahaman" sendiri.

Antara garis panduan merangkumi keperluan untuk meluluskan dan memantau tapak perkhemahan dan aktiviti berkaitan tapak perkhemahan ialah Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Kawasan Pantai 2002 serta Garis Panduan Perancangan: Pemeliharaan Topografi Semulajadi dalam Perancangan dan Pembangunan Fizikal mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

"Garis panduan ini bertujuan membantu pihak berkuasa negeri, PBT dan pemaju dalam menetapkan aktiviti pembangunan, peletakan dan kepadatan dalam sesuatu pemajuan tanah secara komprehensif dan mampan tanpa menimbulkan sebarang kesan negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:01 AM