BERENTAP di AJL37, Naim anggap rezeki.
BERENTAP di AJL37, Naim anggap rezeki.
Syafil Syazwan Jefri


KOLABORASI antara artis umpama batu loncatan terbaik buat sesuatu karya untuk mendapat lebih banyak perhatian. Tidak sekadar 'bersatu dalam kerja', namun material karya yang berkualiti juga penting dalam memastikan proses kolaborasi itu diterima.

Bagi penyanyi dan pelakon, Naim Daniel namanya tentu tidak asing lagi apabila kerap kali dilihat berkolaborasi dengan beberapa nama besar dalam industri, baik mereka yang masih baharu, mahupun sudah bergelar senior.

Dilihat sebagai penyanyi versatil yang mampu membawakan pelbagai genre muzik, Naim sentiasa mencari peluang dan ruang mengadaptasi dirinya mengikut hala tuju karya kolaborasi didendangkan.

"Ya, ia agak kontra antara beberapa kolaborasi yang saya lakukan bersama Raihan, Dolla dan Joe Flizzow. Tapi, apa pun saya akan terus berikan yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan.

"Saya akan galas tanggungjawab saya sebaik mungkin, tak kira apa juga material atau karya yang akan dihidangkan kepada peminat. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Jadi, saya akan sesuaikan dengan karya," katanya.

Dilihat sebagai pengkarya pelapis lagu pop dan balada yang semakin meningkat, Naim juga tidak melepaskan peluang berkolaborasi dengan 'otai' dalam dunia nasyid tanah air seperti Raihan.

"Sebelum ini saya dah pernah berkolaborasi dengan Raihan menerusi lagu Ya Rasulallah 1444 yang sepatutnya dilancarkan pada Maulidur Rasul lalu.

"Namun, atas beberapa sebab dan kekangan, ia terpaksa ditunda memandangkan saya juga ada projek lagu solo sendiri. Jadi, saya perlu susun atur jadual untuk rangka promosi supaya boleh memberi lebih tumpuan," katanya.

Tegasnya, setiap tawaran yang datang itu diterima bukan kerana tamak, tetapi itu adalah rezeki.

"Bukan saya nak kaut semua rezeki. Cuma apa yang boleh saya katakan, rezeki itu datang dalam waktu yang hampir sama. Jadi, saya kena seimbangkan dan alhamdulillah peminat juga faham situasi yang berlaku," katanya.

NAIM sentiasa cari peluang ikut hala tuju karya kolaborasi didendangkan.
NAIM sentiasa cari peluang ikut hala tuju karya kolaborasi didendangkan.

Seiring dengan kolaborasi dan muzik yang berubah-ubah, itu juga memberi peluang kepada Naim untuk mencuba dengan lebih 'berani' dalam mengubah penampilannya. Contohnya, dia kini tampil dengan tata gaya rambut 'blonde'.

"Sebenarnya kelangsungan untuk penampilan ini saya teruskan sejak saya berkolaborasi dengan Dolla menerusi lagu Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat.

"Jadi, rasanya saya akan tukar selepas ini (gaya rambut) sebab tak larat dan penat juga untuk 'menjaga' penampilan rambut begini. Tapi, saya rasa seronok juga sesekali menukar sedikit penataan gaya saya," katanya.

NAIM sentiasa mengadaptasi diri saat berkolaborasi.
NAIM sentiasa mengadaptasi diri saat berkolaborasi.

Bermotivasi hasil karya baharu

Terbaharu, lagu dendangannya, Mainan diumumkan layak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang berlangsung pada 12 Februari tahun depan.

"Tahun ini, kita dapat melihat 'warna' dalam genre yang dipertandingkan. Lebih-lebih lagi selepas kemenangan SOG bersama Shila Amzah menerusi lagu Pelukan Angkasa di AJL36 tahun lalu.

"Dari situ, semakin ramai komposer yang begitu teruja untuk mempertandingkan karya mereka. Akhirnya, industri muzik kita pun mula menerima perubahan serta 'penyegaran' dari segi lagu, sekali gus mewujudkan persaingan sihat," katanya.

Ditanya sama ada wujud tekanan buatnya selaku alumni peserta AJL, Naim tidak menganggap setiap yang berlaku umpama tekanan buatnya.

"Kalau bercakap mengenai tekanan, tak juga sebab saya pun pernah kecundang sebelum ini. Tapi, saya cuba untuk meraikan setiap fasa yang berlaku dalam kehidupan saya sebaik mungkin.

"Layak bertanding ke AJL37 itu pun sudah membuatkan saya rasa gembira. Ini kerana dari situ, saya mengerti bahawa orang masih mengangkat dan mengiktiraf hasil kerja saya. Rasa seperti lebih bermotivasi untuk teruskan langkah dengan menghasilkan karya baharu.

"Untuk pentas AJL37 akan datang ini, saya lebih menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan. Sebelum ini, ketika saya dicalonkan menerusi lagu Lara dan Purnama, saya terbabit kemalangan kecil dan sebagainya.

GAYA penampilan juga sentiasa diberi keutamaan oleh Naim.
GAYA penampilan juga sentiasa diberi keutamaan oleh Naim.

"Jadi, saya harap perkara tidak diinginkan sebegitu tidak berulang lagi. Saya hanya ingin berikan persembahan terbaik," katanya.

Pada Sabtu lalu, Naim juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi atas pelbagai kejayaannya dalam bidang seni dalam acara Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2022.

Naim yang dilihat berada dalam kelompok artis serba boleh, sentiasa tampil dengan

pelbagai idea baharu dan segar. Boleh dikata, dia tidak menghampakan peminat yang menyokong kariernya sama ada dalam lakonan mahu pun nyanyian.

Begitu juga untuk pengacaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 6:30 AM