Syafil Syazwan Jefri


KATA orang, sejauh mana pun kita melihat kelebihan yang ada dalam budaya luar, budaya sendiri juga adalah yang terbaik.

Bagi figura yang masih lagi boleh dikatakan bertatih dalam industri dan dikenali dengan nama pentas Bunga Isme ini, budaya tradisi adalah satu elemen terbaik yang dirasakan perlu disuntik dalam karya terbaharunya.

Baru-baru ini, Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini berkongsi kisah penghasilan karya baharunya menerusi sesi temu bual bersama media secara virtual.

Dikenali sebagai penyanyi rap yang tak hanya petah di pentas, Bunga juga ramah tatkala berkongsi keterujaannya mengenai kehadiran single baharu berjudul Intan Payung, hasil kolaborasi bersama Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris.

"Dari zaman kanak-kanak lagi, saya selalu mendengar lagu-lagu nyanyian kak Ani (Noraniza). Sekarang, dapat juga saya berjumpa dan berkolaborasi dengannya," katanya.

Ujar Bunga, dia sendiri tidak menjangkakan akan berpeluang untuk berkongsi karya dengan penyanyi berpengalaman itu.

"Ini peluang keemasan. Saya sendiri pun tak sangka sebab pada awalnya, saya hasilkan lagu ini untuk nyanyian solo. Sebelum ini, saya sendiri sering mengingatkan diri sendiri supaya kukuhkan dulu karya dan nama.

"Dalam erti kata lain, saya nak kena yakinkan diri saya di satu peringkat yang benar-benar kukuh sebelum berkolaborasi dengan artis legenda. Tapi, proses ini berlaku dengan pantas dan saya anggap ia sebagai rezeki yang tak patut saya lepaskan,

" katanya.

Menurut penyanyi rap berusia 21 tahun ini lagi, timbul keresahan dan sedikit tekanan, apabila dia perlu menghasilkan lagu untuk kolaborasi ini.

"Disebabkan saya fikir, kena buat lagu untuk kak Ani, jadi saya perlu pastikan susunan muzik serta liriknya menarik. Tak boleh mengarut. Jadi, saya mengambil masa yang agak lama juga untuk siapkan Intan Payung," katanya.

Keterujaannya dirasakan Bunga bukan sekadar berpeluang berkongsi karya dengan Noraniza, tetapi juga apabila dia dapat bekerja dengan gandingan penerbit hebat seperti Luca Sickta dan Kmy Kmo.

"Saya sering melihat karya-karya gandingan Luca dan Kmy. Apa yang saya nampak, mereka sentiasa akan menyelitkan sedikit elemen Melayu dan tradisional dalam karya mereka walaupun genre yang ditampilkan adalah hip hop.

BUNGA teruja berkolaborasi dengan Noraniza Idris.
BUNGA teruja berkolaborasi dengan Noraniza Idris.

"Jadi, saya nak lakukan sesuatu yang berbeza kali ini. Jadi, Luca dan Kmy maklumkan kepada saya bahawa mereka ingin 'memeriahkan' lagu ini dengan kehadiran kak Ani dan saya bersetuju kerana saya tahu, mereka lebih faham mana yang terbaik," katanya.

Lagu nasihat ibu pada anak

Inspirasi daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, karya Intan Payung kemudiannya menyelusuri arah muzik dengan identiti Bunga dan Noraniza.

"Bila dah dimaklumkan mengenai kolaborasi dengan kak Ani, saya mula mendengar lagu-lagunya seperti Dikir Puteri. Saya rasa, sedap juga kalau dimodenkan sedikit lagu ini dan jadikan sebagai rujukan," katanya.

Intan Payung mengisahkan mengenai nasihat daripada seorang ibu kepada anaknya, supaya mengutamakan pelajaran untuk menjamin masa depan. Lagu ini mula dilancarkan di beberapa platform digital bermula 12 Februari lalu.

"Ia berkisar mengenai diri dan kehidupan saya. Jadi, nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman itu saya gunakan supaya tidak melupakan asal-usul apabila sudah menggapai kejayaan," katanya.

BUNGA ingin selitkan elemen tradisional dalam lagu.
BUNGA ingin selitkan elemen tradisional dalam lagu.

Berkongsi mengenai krisis identiti untuk menempatkan namanya di dalam industri, Bunga tidak menolak apabila ramai masih keliru dan kehadirannya yang nampak masih samar.

"Saya tak nafikan, ada orang yang keliru apabila melihat saya. Ada yang kata saya mirip dengan Shalma Eliana, Azira Shafinaz, Iman Troye dan ramai lagi.

Bahkan, ada juga yang samakan saya dengan Angelina Jolie!

" katanya berseloroh.

Kata Bunga, apa yang pasti, itu tidak akan mematikan semangatnya untuk terus berjuang serta menempatkan nama sebagai pemain dalam industri seni suara tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:00 AM