Sudirman Mohd Tahir

Sungai Buloh: "Kalau dia (calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Sungai Buloh) masih lagi anggap vaksin Covid-19 sebagai uji kaji, saya menjemput calon itu merujuk kepada segala data yang kita ada di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekarang."

Demikian kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika ditanya berkenaan tindakan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Sungai Buloh, Ahmad Jufliz Faiza yang dikatakan sekali lagi bakal mengadakan sidang media berkenaan isu uji kaji vaksin Covid-19.

Menurutnya, dalam pilihan raya setiap calon mempunyai kebebasan untuk membangkitkan apa-apa isu termasuklah kesihatan awam.

"Tak bermaksud kesihatan awam itu tak boleh dibahaskan, tapi saya minta perbahasan itu berlandaskan kepada fakta. Kita bentang semua secara telus bagaimana vaksin Covid-19 berjaya menurunkan kadar kematian, kemasukan ke hospital, kes-kes teruk, ini hasilnya.

"Kita berada di sini hari ini untuk melaksanakan tugas kita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tanpa apa-apa sekatan. Cuma kita galakkan memakai pelitup muka pada hari mengundi. Kita berada di sini pun sebab kita memilih untuk menjayakan vaksinasi program," katanya.

Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.

Terdahulu, Khairy yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh ditemui pada sesi Sidang Media Menteri Kesihatan Berhubung Status Terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, di sini, pada pagi, hari ini.

Beliau berkata, majoriti rakyat Malaysia tahu program vaksinasi yang dijalankan dalam negara berjaya dan efektif.

"Kalau masih ada yang menafikan perkara ini apa boleh saya boleh buat adalah tunjukkan fakta dan statistik.

"Tapi dalam negara yang berdemokrasi ini akan ada suara-suara yang macam mana pun fakta itu terang lagi bersuluh, dia tetap akan percaya pada apa yang dia nak percaya.

"Namun, majoriti rakyat Malaysia tahu program vaksinasi yang dijalankan dalam negara berjaya dan efektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 12:51 PM