Johari (kiri sekali) bersama Rafizi (kanan sekali) dalam rancangan khas sempena Bajet 2023 yang disiarkan di TV3. - FOTO NSTP
Johari (kiri sekali) bersama Rafizi (kanan sekali) dalam rancangan khas sempena Bajet 2023 yang disiarkan di TV3. - FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kestabilan politik penting untuk menarik dan mengekalkan pelaburan asing ke Malaysia.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelabur akan melihat dua aspek sebelum melabur dalam sesebuah negara.

"Pelabur kalau dia hendak datang (melabur) peraturan nombor satu ialah kena tengok kestabilan politik kemudian, kepimpinan negara contohnya dalam masa empat tahun ada tiga perdana menteri, jadi dia tidak akan melabur.

"Apa yang kita kesalkan, pelabur dalam negara mereka akan tunggu sebab takut ada perubahan polisi.

"Saya sarankan akan datang siapa sahaja yang mentadbir negara, polisi tak boleh 'flip-flop' sebab ia memberi kesan jangka panjang," katanya pada program khas, Bajet 2023 yang disiarkan secara langsung di TV3.

Beliau berkongsi pandangan sebagai panel jemputan bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam program dihoskan Mior Abdul Malek Raiyani dan Azaria Tagaya.

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih ke belakang berbanding negara rantau Asean lain walaupun pandemik sudah semakin pulih.

"Kalau kita tengok dalam Asean, semua negara terjejas apabila Covid-19 melanda, tetapi memasuki tahun 2021 semua negara sudah pulih (GDP).

"Tetapi kita masih negatif sedangkan negara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam keseluruhan KDNK mereka positif.

"Ini kerana polisi kita ketika pandemik tidak konsisten contohnya sekejap buka sekejap tutup (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Sementara itu, Rafizi turut bersetuju dengan pandangan Johari yang berkata, keputusan kerajaan dalam mentadbir urus negara akan mempengaruhi keyakinan pelabur.

Kata beliau, pelabur bukan saja melihat bagaimana kerajaan mengemudi dan mengimbangi antara menguruskan krisis tetapi pada masa sama hala tuju yang konsisten itu juga penting.

"Sebab itu soal kestabilan politik ini sebenarnya soal keyakinan pelabur terhadap kemampuan sesebuah kerajaan itu.

"Bukan saja menguruskan krisis tetapi meletakkan rancangan masa sederhana dan panjang serta konsisten," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 4:10 PM