DATUK Seri Johari Abdul Ghani. FOTO ASYRAF HAMZAH
DATUK Seri Johari Abdul Ghani. FOTO ASYRAF HAMZAH
Suraya Roslan


KESTABILAN politik memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan sesebuah kerajaan terutama memulihkan kembali ekonomi selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketidakstabilan politik di Malaysia ketika ini boleh mengganggu usaha pemulihan dan penjanaan semula ekonomi negara.

"Kalau nak bangunkan ekonomi mana-mana negara sekali pun, perkara pertama adalah kestabilan politik termasuk mengukuhkan sesebuah kerajaan.

"Jika kerajaan hanya memiliki kelebihan (majoriti Parlimen) satu atau dua kerusi, susah pada pelabur kerana mereka bimbang kerajaan boleh bertukar bila-bila masa," katanya pada Bicara Eksklusif Sempena Majlis Pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! menerusi siaran langsung di Facebook Utusan Online di Kuala Lumpur, hari ini.

Johari berkata, bagi mengatasi keyakinan pelabur yang berkurangan, Malaysia perlu menghantar mesej jelas kepada pelabur bahawa negara berada dalam keadaan stabil dan kerajaan mampu mentadbir negara dengan aman.

Beliau berkata, kerajaan yang kukuh penting untuk menarik pelabur asing kerana jika kerajaan boleh bertukar bila-bila masa, ia mencetus kemungkinan dasar sesuatu negara boleh berubah dengan cepat.

"Sebagai contoh ketika kerajaan Barisan Nasional perkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun apabila BN tewas, kerajaan baharu perkenalkan kembali Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Pertukaran itu berlaku dalam tempoh singkat dan menunjukkan Malaysia berada dalam keadaan tidak stabil menyebabkan pelabur akan mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Jika ini berlaku, mereka mungkin akan memilih melabur di negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, sekali gus menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 6:20 PM