SULAIMAN beramah mesra dengan pekerja pembersihan. FOTO Nuraliawati Sabri.
SULAIMAN beramah mesra dengan pekerja pembersihan. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Rakyat Melaka diingatkan agar tidak mengulangi 'kesilapan' Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada pilihan raya kali ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, rakyat perlu memilih sebuah kerajaan yang layak dan boleh membantu serta memenuhi semua keperluan rakyat.

Beliau berkata, pada PRU-15, rakyat perlu menggunakan tanggungjawab yang ada bagi memastikan bagaimana bentuk kerajaan yang akan diberikan tanggungjawab untuk mentadbir serta mengurus negara.

"Saya tidak mahu lagi seperti penggal PRU-14, ketidakstabilan berlaku akibat budaya politik yang tidak menentu. Kita tidak mahu lagi apa yang berlaku kucar kacir pada PRU-14.

"Sebab itu kali ini pastikan jangan lakukan kesilapan. Pilih kerajaan yang boleh membantu dan membela nasib rakyat.

"Kalau yang ini pilih sikit, sana sikit akhirnya tidak ada satu pun parti yang boleh bentuk kerajaan, siapa yang susah dan yang sukarnya rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Petugas Sektor Pembersihan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Menurutnya, rakyat diingatkan agar memilih calon yang mempunyai rekod pencapaian mentadbir dan mengurus negara dengan baik.

"Janganlah esok kita hendak cuba-cuba, kalau kita tengok yang dulu tidak boleh, tidak mengapa, kalau sekarang tidak boleh tidak mengapa, tetapi jangan kita tersalah pilih.

"Sebab itu saya mohon kepada semua jalankan tugas, hak kita sebagai pengundi untuk memastikan apakah kerajaan yang kita perlukan.

"Saya bimbang nasib anak cucu kita akan datang kerana jika silap membuat pilihan kenikmatan," katanya.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu berkata, ketidakstabilan politik juga menyukarkan pelabur untuk melabur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 6:33 PM