Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengusaha pusat servis kereta di bandar raya ini mengakui harga alat ganti kenderaan dan komponen kenderaan mencatatkan kenaikan antara lima hingga 20 peratus, sejak empat bulan lalu.

Pengurus Sun Hup Tyre Sdn Bhd Susan Ngo, 47, berkata, kenaikan harga berkenaan membabitkan beberapa alat ganti selain tayar dan rim.

Namun, katanya, pengilang dan pembekal alat ganti kereta juga sudah memberikan senarai harga baharu yang berkuat kuasa hari ini berikutan kenaikan kos bahan mentah terutama aluminium.

"Harga alat ganti kereta memang naik sejak beberapa bulan sebelum ini secara konsisten.

"Harga tayar contohnya naik sedikit demi sikit membabitkan kenaikan lima peratus setiap tiga bulan sejak beberapa bulan lalu. Begitu juga harga sport rim yang naik antara lapan hingga 15 peratus berikutan harga besi dan aluminium dilaporkan semakin mahal.

"Malah pusat servis diuruskan saya sudah menerima notis dari pengilang dan pembekal berkenaan harga baharu yang akan berkuat kuasa mulai hari ini.

"Ia berikutan kos bahan mentah yang didakwa semakin mahal di samping kos logistik melambung disebabkan pandemik Covid-19 menyebabkan penghantaran barang terutama dari Eropah dan Amerika Syarikat mengalami gangguan," katanya ketika ditemui di pusat servisnya, di sini.

Sabtu lalu, Pengerusi Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia (PUSPAWM) Mastinah Mohamad Sani, dilaporkan berkata, berlaku kenaikan beberapa komponen dan alat ganti kenderaan sejak dua bulan lalu tetapi tidak melebihi 20 peratus.

SUSAN memantau pekerjanya membaiki kereta pelanggan.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUSAN memantau pekerjanya membaiki kereta pelanggan. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Harga tayar dilaporkan naik antara lima peratus hingga sepuluh peratus sejak September dengan harga alat ganti naik antara 10 hingga 20 peratus.

Kenaikan komponen dan alat ganti kenderaan dilaporkan berkemungkinan disebabkan oleh kesan penutupan kilang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun hingga September lalu.

Sementara itu, Susan berkata, pelanggan kini mengambil langkah lebih berhati-hati ketika menghantar kereta mereka untuk diservis.

Katanya, pelanggan juga hanya akan menggantikan komponen penting terutama brek pad, wiper dan tayar selain menolak untuk mengganti komponen yang kurang penting walaupun disarankan.

"Pelanggan mengadu tidak mempunyai bajet untuk membuat penggantian lebih banyak malah sering meminta tayar second hand untuk menggantikan tayar lama berikutan harga tayar yang sedikit mahal pada masa ini," katanya.

Dalam pada itu, pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad Tarmizi, 41, berkata, beliau juga meminta senarai sebut harga setiap alat ganti yang ingin ditukar sebelum membuat pilihan berdasarkan bajet yang ada.

"Seperti hari ini saya hanya tukar minyak hitam sahaja dan membatalkan untuk menukar tayar berikutan harga tayar yang agak mahal berbanding biasa.

"Mungkin saya akan ganti tayar apabila dapat gaji bulan depan. Bukan kedekut dan tidak utamakan keselamatan, tetapi saya lebih utamakan keperluan lain terutama makanan dan keperluan sekolah anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 6:11 PM