IZARA teliti watak sebelum terima tawaran berlakon.
IZARA teliti watak sebelum terima tawaran berlakon.
Norhayati Nordin


KEPERIBADIAN diri pelakon, Izara Aishah, 29, sekarang amat mengagumkan dan matang.

Dari penampilan imejnya dan tutur kata ketika berbual amat sopan dan menjaga batas. Malah, setiap jawapannya juga jelas serta tersusun rapi.

Berbual dengan ibu seorang anak perempuan, Irisa Alaia yang berusia dua tahun ini, Izara berkata, dia sekarang lebih selesa bekerja dari rumah.

Katanya, ia memudahkan dia bekerja sambil menjaga anaknya sendiri kerana tidak menggunakan khidmat pembantu rumah.

Menurut pelakon filem KL Zombi, Sinaran dan J Revolusi ini, sejak bergelar ibu pada 2020, dia mengutamakan urusan penjagaan anaknya dulu berbanding karier. Jadi, kini dia sudah jarang berlakon dan lebih menumpukan kepada perniagaan.

"Walaupun sekarang saya boleh dikatakan suri rumah, tapi kerja tetap kerja. Cuma, urusan perniagaan banyak saya uruskan dari rumah saja kerana lebih mudah. Ia juga menenangkan kerana anak sentiasa ada depan mata.

"Saya suka uruskan anak sendiri kerana lebih rapat dengannya. Lagipun sebab sudah terbiasa juga, saya hanya tinggalkan anak sekali-sekala dengan ibu saya jika memerlukan bekerja di luar seperti terbabit sesi fotografi dan iklan produk," katanya.

CANTIK dan manis, Izara tampil bertudung sejak setahun lalu.
CANTIK dan manis, Izara tampil bertudung sejak setahun lalu.

Ditanya juga mengenai kerjaya lakonannya, Izara yang aktif berlakon sejak berusia 17 tahun berkata, untuk lakonan sekarang, dia mahu memberi fokus kepada tawaran berlakon filem saja berbanding drama.

"Untuk karier lakonan sekarang, saya memang tak buat sebab memilih sangat. Tawaran berlakon sentiasa ada, tapi saya yang memilih. Kalau saya tak berkenan dengan jalan cerita, memang saya tak ambil. Sebab itu saya katakan fokus kepada filem saja. Kalau drama, saya lagi betul-betul memilih. Jadi, sebab itu juga, saya belum berkenan dengan apa-apa jalan cerita lagi (drama) buat masa sekarang.

"Saya cerewet memilih pun memang sebab watak. Lagi-lagi dengan penampilan saya sekarang ini, memang saya begitu teliti. Terutama babak dalam bilik, tak logik kalau kita asyik pakai tudung. Jadi, saya nak babak yang realistik," katanya pada sesi fotografi sebagai duta produk Mamadil.

Izara juga menyifatkan penonton sekarang sudah pandai dan setiap babak yang dilakonkan itu perlu sesuai dengan jalan cerita.

"Sebagai pelakon, kita kena betul-betul teliti antara realiti hidup dan drama itu perlu ada persamaan. Sekarang kita dah tak boleh terlalu berfantasi sebab penonton dah sangat bijak," katanya.

Izara berkata, dia cerewet memilih watak dan jalan cerita drama yang hendak dibintanginya sejak dulu.

Katanya, sekarang dia jadi makin cerewet apabila bertudung. Dia juga tegas dalam membuat pemilihan watak kerana sudah ada anak.

URUS anak sendiri, Izara akui lebih rapat dengan anaknya, Irisa Alaia.
URUS anak sendiri, Izara akui lebih rapat dengan anaknya, Irisa Alaia.

"Sekarang saya tak boleh nak beri komitmen kerja di lokasi penggambaran sampai tengah malam. Saya ada tempoh waktu bekerja tertentu dan kena balik ke rumah ikut masa ditetapkan iaitu sebelum jam 12 malam.

"Walaupun kebanyakan produksi yang nak berurusan dengan saya tiada masalah mengikut semua syarat ditetapkan, tapi saya yang tak dapat terima tawaran lakonan daripada mereka hanya disebabkan watak tidak sesuai.

"Saya ini serius apabila berlakon. Saya tak main-main. Apatah lagi, guru lakonan saya adalah kak Ellie Suriaty, jadi pembabitan kami dalam lakonan ini disebabkan betul-betul minat dan bukan sekadar suka-suka dan kejar popular," katanya.

Baru setahun memakai tudung, Izara berkata, dia rasa lebih okey sekarang sebab dah tak terkait lagi dengan gosip berkaitan pakaian.

Katanya, kalau dulu sebelum bertudung, dia mengaku selalu terpalit dengan gosip berimej seksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:40 AM