ATIQ bakal muncul dengan drama Hawt Fellas di slot Lestary TV3. FOTO Rohanis Shukri
ATIQ bakal muncul dengan drama Hawt Fellas di slot Lestary TV3. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


DRAMA bersiri Nur dan Nur 2 membawa impak besar kepada bakat muda, Atiq Azman, 23, dalam kerjaya lakonannya.

Namun, kini nama anak muda asal Kelantan itu seakan-akan 'sepi' sebagai pelakon.

Pada Jun lalu, Atiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Atiqullah Raja Azman Shah mendedahkan, dia terkena sihir daripada seseorang sehingga mengganggu kerjayanya apabila sukar mendapatkan tawaran berlakon.

"Saya sayangkan kerjaya lakonan ini kerana minat menjadi pelakon. Cuma, saya berdepan ujian apabila terkena sihir yang menyebabkan urusan kerja terganggu. Nama saya selalu 'tidak lepas' ketika pemilihan stesen TV.

"Sebelum ini saya tidak menerima tawaran berlakon sejak enam bulan lalu. Ia membuatkan saya tertanya-tanya. Saya sihat dan tidak sakit, tapi tawaran untuk kerja tiada. Memang pelik.

"Saya mendapat nasihat daripada keluarga supaya pergi pusat rawatan Islam sebagai alternatif. Tak sangka juga, saya dah lama terkena ilmu hitam (sihir) dan tidak menyedarinya. Jadi, saya berubat saja yang sepatutnya asalkan pulih," katanya.

Atiq berkata, dia sama sekali tidak pernah terfikir untuk 'angkat kaki' meninggalkan bidang lakonan.

Katanya, dia tetap ingin terus berlakon, namun tawaran berlakon tidak sampai kepadanya.

ATIQ akui dirinya terkena ilmu hitam yang menyekat tawaran kerja. FOTO Rohanis Shukri
ATIQ akui dirinya terkena ilmu hitam yang menyekat tawaran kerja. FOTO Rohanis Shukri

Ditanya keadaan kesakitan dialaminya akibat disihir, Atiq berkata, dia bersyukur tidak sakit teruk, namun yang diganggu adalah rezekinya apabila dihalang menerima tawaran berlakon.

"Saya tidak mengenali siapa pelaku di sebalik perbuatan jahat ini. Cuma perawat yang merawat saya ada memaklumkan 'pihak itu' dalam kalangan rakan artis juga. Saya terkejut, tapi tak tahu siapa orangnya.

"Saya pun tahu dan sedar diri sudah terkena sihir selepas menjalani rawatan dengan pengamal perubatan Islam itu. Alhamdulillah, baru sekarang saya dapat tawaran berlakon semula daripada Country & Universal Sdn Bhd," katanya di lokasi penggambaran drama, Hawt Fellas lakonannya yang diarahkan Eoon Shuhaini di DxN Cyberville, Cyberjaya, baru-baru ini.

Dalam drama itu, dia melakonkan watak sebagai Mat Don.

Dalam pada itu, Afiq berkata, dia tidak cerewet dalam memilih watak terutama dalam situasi industri hiburan kini yang semakin ramai pelakon baru.

"Saya tidak cerewet sangat dengan watak. Cukup hanya watak itu dirasa sesuai dan boleh dibawakan dengan bagus sudah memadai. Apa yang penting, mesejnya sampai dengan baik kepada penonton.

ATIQ tidak terlalu cerewet dalam memilih watak dilakonkan. FOTO Rohanis Shukri
ATIQ tidak terlalu cerewet dalam memilih watak dilakonkan. FOTO Rohanis Shukri

"Selain itu, bayaran diterima juga setimpal dan saya tidak pernah memilih rakan pelakon untuk bekerjasama. Bagi saya, dah dapat tawaran berlakon itu sangat bersyukur sebab saya perlukan sumber pendapatan untuk kelangsungah hidup," katanya.

Hawt Fellas bakal menemui penonton di slot Lestary TV3 dan turut menampilkan lakonan Idan Aedan, Nabil Aqill, Raden Zaharatul, Tisya Ong, Izzul Faiq, Khaled, Amy Nur Tinie dan ramai lagi.

Watak penghidap OCD

Lebih lima tahun aktif berlakon, Atiq mengakui teruja diberi kepercayaan untuk watak Mat Don, seorang yang menghidap penyakit Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).

Katanya, untuk watak Mat Don itu juga dia kena sentiasa bersih dan kemas.

"Mat Don agak istimewa kerana penyakit OCD dihidapinya itu. Secara tidak langsung ia memberi saya peluang memahami situasi yang sering dihadapi mereka yang menghidap OCD.

"Mat Don sangat mengutamakan aspek kebersihan yang terlalu teliti dalam rutin kehidupan hariannya. Dia juga seorang yang positif dan suka memberi semangat kepada rakan lain," katanya.

Atiq berkata, dia bagaimanapun risau dengan tanggungjawab digalasnya sebagai Mat Don terutama menghadapi komen penonton nanti.

Katanya, dia bimbang sekiranya penonton berasa watak OCD dibawakan itu tidak menjadi.

"Saya amat berhati-hati untuk watak OCD ini. Jadi, ia membuat saya sangat teliti dalam pelbagai aspek dan betul-betul pastikan diri memang ada OCD. Sehingga ada kala saya terbawa-bawa watak Mat Don di luar set penggambaran.

"Sebelum ini saya juga pernah melakonkan watak lelaki pemarah dan remaja lembam. Namun, saya dapati berlakon watak OCD lebih okay berbanding lembam kerana banyak bermain emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 7:00 AM