Ridzuan Abdul Rahman


IMPIAN yang akhirnya menjadi kenyataan. Begitu realiti yang berlaku dalam hidup penyanyi dan pengacara Sissy Iman apabila menjejak kaki ke London dan Paris selama dua minggu, baru-baru ini.

Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 27, berkata, kunjungan sulungnya ke dua lokasi itu amat bermakna kerana memberikan banyak pengalaman baharu kepadanya.

"Ia lebih kepada misi jalan-jalan. Saya sebenarnya kumpul duit sejak mula menyanyi sembilan tahun lalu. Ayahanda (Mohammad Kamil) pula pantau semua aktiviti perbelanjaan keluar dan masuk duit. Dia kemudian tanya saya tak nak pergi bercuti? Akhirnya saya pilih pergi ke London dan Paris," katanya yang pergi bercuti sendirian.

Alang-alang ke London, penyanyi lagu Pesanan Ayahanda ini turut mengambil peluang merakam lagu di studio terkenal Abbey Road Studio di London.

"Syukur, rezeki saya dapat rakam lagu di situ. Semestinya bekerja di sana sangat berbeza termasuk budaya kerjanya. Insya-Allah album ini dikeluarkan mungkin hujung tahun ini.

"Berkenaan cara kerja, selalunya di Malaysia penerbit akan bagi satu 'tape' untuk kita dengar dan relaks-relaks dulu. Selepas itu baru rakam lagu bahagian demi bahagian. Di sana sangat profesional.

"Saya rakam dari mula nyanyian sampai habis. Ia lebih seperti kita buat persembahan 'live'.

MULA menyimpan wang sejak menyanyi sembilan tahun lalu.
MULA menyimpan wang sejak menyanyi sembilan tahun lalu.

Baru saya tahu penyanyi mereka rupanya rakam begini bukan macam kita," katanya.

Menurutnya, album ini diterbitkan oleh AG Coco yang kini menetap di London bersama keluarganya.

"Ada yang tanya kenapa London? Bagi saya ia lebih kepada 'passion' dan minat. Kalau setakat nak dapat kualiti bunyi seperti di sini (London), di Kuala Lumpur pun banyak studio yang bagus-bagus.

"Tapi, saya nak rasa pengalaman bekerja dengan mat salih. Macam mana gaya kerja, skil muzik dan apa input yang kita boleh dapat. Saya hasilkan dengan kos sendiri.

"Memang betul saya ada karier nyanyian, tapi yang buatkan saya mampu ialah kerjaya lain seperti pengacara yang menampung minat saya ini," katanya.

Sissy berkata, keseluruhan kos belum dikira, tetapi untuk membayar kos studio saja pun sudah tinggi.

"Apa pun banyak perkara yang boleh saya belajar daripada mereka. Saya pun mengajar muzik. Skil itu yang saya nak dapat dan tahu.

SISSY merakam kenangan di kota London.
SISSY merakam kenangan di kota London.

"Kita boleh tengok kehebatan studio mereka dengan lihat mikrofon berharga RM30,000. Dapat main piano yang The Beatles main dan yang Pink Floyd pegang. Saya dapat pengalaman dan kepuasan di situ. Saya merakam enam lagu dan tak dinafikan masa mula-mula masuk studio cuak juga," katanya.

Lebih mengujakan apabila AG memperkenalkan Sissy kepada tenaga kerja studio terbabit, mereka sudah tahu latar belakangnya.

"Maksudnya mereka sendiri seperti jurutera bunyi, artis nak datang rakam lagu mereka dah buat kajian dulu. Mereka dah tahu siapa dia, range vokalnya bagaimana.

"Itu sikap profesional mereka. Peluang ini saya dapat menerusi usaha AG. Sebulan saya rancang idea ini. Niat nak pergi bercuti, tapi mengapa tidak cuba nasib bila dah sampai.

"Mulanya saya tanya AG bolehkah? Dia jawab ketika dia rakam lagu dengan Kugiran Masdo di situ pun kena tunggu giliran selama setahun," katanya.

Mereka bagaimanapun tidak berputus asa dan selepas mencuba diberitahu ada kekosongan.

"Di sana ikut konsep boleh dicabar atau sebaliknya. Kalau boleh dicabar okeylah. Agaknya mereka baca profil saya dan akhirnya setuju bagi kebenaran. Namun, prosesnya bukan mudah kerana banyak kali AG uruskan segala yang berkaitan. Apabila rakam lagu, saya letakkan niat untuk saya sendiri.

SISSY rakam lagu di London sebagai penghargaan buat diri sendiri.
SISSY rakam lagu di London sebagai penghargaan buat diri sendiri.

"Ia kerana ini adalah hasil jerih perih ayahanda yang hantar saya, ikut saya dari umur lima tahun main piano dan bayar yuran," katanya.

Baginya kejayaan ini untuk diri sendiri terlebih dulu dan apa yang berlaku selepas itu sama ada lagu hit atau sebaliknya terpulang kepada ketentuan Allah.

"Sekarang saya buat untuk kepuasan diri dahulu. Semua lagu ciptaan saya sendiri dan ada beberapa lagu dibantu oleh AG. Saya kenal dia masa buat single pertama Mungkin Kamu pada 2013. Keseluruhan rakaman ambil masa 10 jam," katanya yang sempat meluangkan masa menonton konsert Michael Buble di London.

Dalam pada itu, Sissy bakal terbabit sebagai pengacara program kanak-kanak Chit Chat Ceria sempena kempen Gemilang Bersama Astro sempena Hari Kebangsaan.

"Rakaman akan dibuat bermula 20 Ogos ini. Ada empat episod sempena Hari Kebangsaan, namun saya difahamkan akan disambung lagi selepas ini.

"Hosnya bertukar ganti antara saya, Alif Satar dan beberapa lagi. Program berkonsep infotainment ini berkisarkan berkenaan Malaysia budaya dan sejarahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:00 AM