SISSY akui program realiti Big Stage membantu popularitinya.
SISSY akui program realiti Big Stage membantu popularitinya.
Najiy Jefri

ENAM tahun mencanai bakat dalam dunia nyanyian, penyanyi Sissy Imann bersyukur apabila laluan kerjaya yang diceburi semakin membuahkan hasil.

Sissy mengakui pembabitannya dalam program realiti Big Stage tahun lalu berjaya melonjakkan namanya.

Terkini, Sissy tampil dengan single berjudul Pesanan Ayahanda yang dihasilkan lima komposer iaitu Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan, Romeo dan dirinya sendiri.

“Alhamdulillah, selepas enam tahun berada dalam industri, saya dapat lihat perubahan positif apabila semakin diterima ramai.

“Apa yang saya boleh katakan, Big Stage menjadi platform untuk orang lebih kenal dan sedar kewujudan saya dalam industri,” katanya.

Siapa sangka, penyertaannya dalam program realiti itu juga membuka lebih rezeki apabila menjadi antara peserta kegemaran Faizal Tahir.

Bahkan, kecenderungan Faizal terhadap penyanyi berusia 24 tahun ini semakin ketara apabila menyuarakan rasa terkilan selepas Sissy tidak dapat mara ke pentas final.

Penangan keunikan Sissy benar-benar membuatkan komposer berusia 41 tahun itu mahu terus ‘memilikinya’.

TAMPIL dengan single terbaru berjudul Pesanan Ayahanda.
TAMPIL dengan single terbaru berjudul Pesanan Ayahanda.

Buktinya, Faizal memberi peluang dengan melamar Sissy bernaung di bawah syarikat rakaman miliknya, Faithful Music.

Timbul khabar angin mendakwa Sissy anak emas komposer dan penyanyi terkenal itu.

“Entahlah, kalau orang cakap saya ini anak emas Faizal, barangkali itu hanya pandangan orang saja.

“Apa yang pasti saya memang ‘anak’ dia sekarang kerana bernaung di bawah syarikat miliknya. Bahkan, saya sendiri memanggilnya dengan panggilan ‘bapak’,” katanya.

Kata Sissy, dia teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan individu yang cukup berbakat dan disegani ramai itu.

“Sebenarnya, kami sudah mula berinteraksi antara satu sama lain menerusi aplikasi Direct Message (mesej peribadi) di Instagram memandangkan saya sebelum ini memang banyak menyanyikan semula lagu Faizal Tahir.

“Jadi, daripada situlah sebenarnya kami mula berhubung antara satu sama lain sebelum dia melamar saya untuk bekerjasama.

“Bahkan, dia pernah beritahu video lagu ‘cover’ saya paling banyak tontonan di akaunnya apabila dikongsikan,” katanya.

SISSY bernaung di bawah Faithful Music.
SISSY bernaung di bawah Faithful Music.

Ayahanda teman setia

Beralih mengenai bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa yang sering dilihat menemaninya ke mana saja, Sissy berkata insan paling disayanginya itu sangat terbuka dan memberi kebebasan kepadanya untuk membuat keputusan dan melakukan aktiviti kegemaran.

Kata Sissy, bapanya itu tidak pernah menyekat kebebasannya, berkawan atau didekati mana-mana lelaki.

“Ayahanda memang sentiasa ikut saya tetapi dia tidak pernah larang saya berkawan dengan sesiapa.

“Kalau nak keluar ke mana-mana, sudah semestinya saya akan tanya ayahanda dulu. Sebagai anak saya kenalah dapatkan keizinannya,” katanya.

Beralih mengenai single terbaru, Sissy berkata ia dibuat khas untuk bapanya yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini.

“Sebenarnya saya ada dua lagu untuk ayahanda. Ketika bertemu Mike dan komposer lain, mereka dapat idea untuk cipta lagu mengenai bapa selepas melihat keakraban saya dan ayahanda.

“Jadi, lagu ini saya dedikasikan untuk ayahanda dan semua bapa di dunia serta sesiapa saja yang sedang bercinta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 6:31 AM