DIBERI peluang jadi juri program realiti terbaharu Astro, Suara Viral
DIBERI peluang jadi juri program realiti terbaharu Astro, Suara Viral
Syafil Syazwan Jefri

BAGI peminat dan pengikut setia penyanyi, Sissy Imann, namanya tentu tidak asing lagi dan ramai sedia maklum mengenai pembabitannya dalam bidang muzik sejak beberapa tahun lalu.

Namun, namanya mula menyinar dengan lebih gemilang selepas menyertai program realiti Big Stage yang mengangkat penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) pada 2018.

Sejak itu, Sissy mula mengorak langkah lebih jauh dan terbaharu, dia kini diberi peluang untuk menjadi juri untuk program realiti terbaharu Astro, Suara Viral.

"Untuk program ini, saya diberi tanggungjawab sebagai Juri Duduk Rumah memandangkan proses rakaman tidak akan berjalan seperti biasa kerana ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Selain saya, juri lain yang terbabit adalah Bob Yusof, Idayu, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Ngektsai dan dua wartawan hiburan, Niezam Abdullah dan Sudyr Tahir," katanya.

Berkongsi mengenai tugasan itu, Sissy mengakui bahawa ia adalah satu tanggungjawab besar memandangkan dia juga masih setahun jagung dalam industri muzik tanah air.

"Apabila ditawarkan untuk menjadi Juri Duduk Rumah, saya memang gementar juga kerana ini adalah kali pertama saya menjadi juri untuk program TV. Saya sendiri pun masih belum cukup sempurna.

"Selepas pihak produksi berbincang dan menerangkan kepada saya konsep dan cara penjurian, saya terima kerana kalau boleh, dapat juga saya kongsikan ilmu mengenai muzik yang saya ada," katanya.

Sissy yang juga memiliki pendidikan formal mengenai muzik dan menjadi pendidik dalam bidang ini tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu yang dimiliki.

SISSY  baharu sahaja melancarkan single baharu berjudul Tak Gundah.
SISSY baharu sahaja melancarkan single baharu berjudul Tak Gundah.

"Bagi saya, lagi banyak ilmu yang kita kongsikan, kita pun akan dapat manfaatnya dan belajar perkara baharu. Sebelum ini, saya pernah menjadi juri untuk acara kecil contohnya pertandingan di sekolah dan sebagainya.

"Jadi, apabila ditawarkan untuk menjadi juri sampingan bagi sebuah program TV berskala besar sebegini, ia adalah satu pencapaian buat saya," katanya.

Ditanya mengenai fokus Sissy dalam menilai kemampuan 10 peserta program itu, Sissy berkata, paling penting adalah 'jiwa' dalam nyanyian yang disampaikan.

"Cara nyanyian dan teknikal itu penting, namun perlu sentiasa ingat bahawa apa juga seni yang kita hasilkan itu adalah untuk buat orang dapat rasa. Jadi, sekiranya sesuatu persembahan itu ada 'jiwa', kita yang menonton pun akan dapat rasa," katanya.

Sissy juga menasihatkan peserta supaya mencari identiti dan menjadi diri sendiri saat berada dalam pertandingan ini.

"Saya sendiri sudah pernah melalui pelbagai cabaran di mana, ada yang minta saya tukar genre, tukar cara nyanyian dan macam-macam lagi. Tapi, apabila saya menyertai Big Stage, saya mula nampak bahawa orang yang menonton sebenarnya nak saya jadi diri sendiri.

"Kepada peserta Suara Viral, cari identiti sendiri dan kekalkan itu dengan menjadi diri sendiri. Tentunya itu akan memberikan lebih nilai kepada persembahan dan juga penjenamaan diri anda," katanya.

Selain barisan Juri Duduk Rumah, Suara Viral juga membariskan dua selebriti terkemuka tanah air yang menduduki kerusi juri tetap iaitu Misha Omar dan Akim Ahmad.

NASIHATKAN peserta Suara Viral supaya mencari identiti dan menjadi diri sendiri ketika dalam pertandingan.
NASIHATKAN peserta Suara Viral supaya mencari identiti dan menjadi diri sendiri ketika dalam pertandingan.

Selain itu, Sissy juga baharu sahaja melancarkan single baharu berjudul Tak Gundah.

"Lagu ini adalah hasil ciptaan saya sepenuhnya dan buat pertama kali, saya lancarkan buah tangan yang bukan hasil kolaborasi dengan komposer lain.

"Ia adalah single yang juga projek khas untuk sebuah super telefilem berjudul Aku Bukan Gila yang akan ditayangkan tidak lama lagi," katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu, ia adalah karya yang disimpan Sissy selama enam tahun.

"Saya sudah hasilkan lagu ini sejak enam tahun lalu. Tapi, apabila penerbit, Datuk Ayu Puteh menghubungi dan meminta saya hasilkan lagu tema (OST) untuk karya terbitannya, saya lihat jalan ceritanya sesuai dengan melodi dan cerita dalam lagu ini.

"Datuk Ayu pun bersetuju untuk menjadikan lagu Tak Gundah ini sebagai OST. Bagi memberikan nafas baharu yang lebih moden, muziknya digarap dengan beberapa elemen yang lebih segar," katanya.

Kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Sissy memanfaatkan masanya untuk menghasilkan video muzik Tak Gundah di rumah.

"Mujurlah di rumah saya ada abang dan adik yang selalu membantu. Jadi, saya memanfaatkan apa yang ada di rumah bagi menghasilkan video muzik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 6:00 AM