ROHANA (kiri) dan Hou Lan. FOTO arkib NSTP
ROHANA (kiri) dan Hou Lan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Selepas menunggu sekian lama untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, hasrat Rohana Abdullah menjadi kenyataan selepas ditawarkan tempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bermula Isnin ini.

Ini bermakna, dia dapat mengorak langkah untuk menggenggam segulung diploma dan seperti yang diidam-idamkannya sejak kecil lagi.

Katanya, dia menerima tawaran secara rasmi daripada universiti itu Isnin lalu untuk mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Sains Komputer.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan tawaran ini. Terima kasih kepada UTeM yang menawarkan tempat kepada saya.

"Sudah pasti saya akan gunakan peluang ini untuk mencapai cita-cita saya dalam bidang itu selepas sekian lama menunggu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia difahamkan Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin sendiri akan menyerahkan tawaran itu pada satu majlis yang dijadualkan Sabtu ini.

Rohana berkata, biarpun dia begitu meminati bidang perubatan, namun dia gembira dapat belajar dalam bidang Sains Komputer yang menjadi satu daripada minatnya.

"Sebelum ini saya dapat juga tawaran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Bagaimanapun, saya ditawarkan di UPM Kampus Bintulu.

"Itu akan menyebabkan saya berjauhan dengan Laoshi dan saya masih belum bersedia. Kalau di UTeM ini dekat, mungkin kami boleh berjumpa seminggu sekali," katanya.

Menurutnya, tawaran itu juga menjadi berita gembira buat Chee Hoi Lan, 83 yang akan menghantarnya ke kampus hujung minggu ini.

Katanya segala persiapan sudah pun diuruskan termasuk membeli barangan berkaitan dan hanya perlu menyelesaikan dokumentasi unutk kemasukan pengajian.

Kisah Rohana yang dijaga ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan sehingga kini disiarkan secara eksklusif oleh Harian Metro bermula 14 Januari lalu.

Dua beranak itu meminta bantuan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim untuk mendapatkan taraf kerakyatan selepas dia ditinggalkan sejak kecil.

Ia mengundang reaksi banyak pihak selain ramai yang memuji sikap murni Hoi Lan yang berusaha mengekalkan Rohana dengan agama asal sehingga hari ini.

Kisah gadis yang bekerja sebagai pengajar di pusat tuisyen itu turut diberi perhatian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghubunginya untuk membantu.

Detik manis itu akhirnya tiba pada 29 April lalu selepas dia mendapat taraf kewarganegaraan menerusi Surat Keputusan Kewarganegaraan daripada Menteri Dalan Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 12:39 PM