ROHANA kini anak Emas UTeM. FOTO Nazri Abu Bakar
ROHANA kini anak Emas UTeM. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: "Alhamdulillah saya sangat bersyukur menerima tajaan ini," kata Rohana Abdullah, 22, yang dikenali ramai kerana dibesarkan oleh wanita berbangsa Cina dikenali Chee Hoi Lan, 83, sejak berusia dua bulan.

Kisah Rohana yang mempunyai masalah kewarganegaraan pernah dilapor Harian Metro pada Januari lalu dan turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wanita itu yang dua bulan melanjutkan pengajian ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), menerima pembiayaan di bawah program Anak Emas UTeM bersama dua pelajar terpilih.

Katanya, dia sangat berterima kasih dengan tajaan untuk pengajiannya dalam bidang Diploma Sains Komputer dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh serta memperoleh sijil dekan setiap semester.

"Sepanjang tempoh ini, saya rindu dengan ibu angkat (laoshi) dan setiap hari kami berhubung menerusi panggilan telefon.

"Saya tak sabar nak berjumpa laoshi dan akan pulang minggu ini bagi melepaskan kerinduan.

"Tekad saya untuk habiskan pengajian ini dan mahu laoshi gembira dengan kejayaan saya nanti," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian cek tajaan Anak Emas UTeM yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kelmarin.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin.

Rohana berkata, selepas ini dia mahu membalas jasa ibu angkat yang berkorban membesarkannya dengan pelbagai kesukaran.

Terdahulu, Rohana dan dua pelajar UTeM iaitu Siti Fatimah Abdullah dan Nurul Syafiqah Nor Hasyimi masing-masing menerima tajaan berjumlah RM24,010, RM35,172 dan RM31,152 sepanjang pengajian di universiti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 1:44 PM