Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Satu laporan dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung prosedur membawa pulang jenazah pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand, yang didakwa tidak mengikut tatacara.

Laporan dibuat oleh abang sulung mangsa, Mohd Faisal Rohban Ahmad, 48, melalui firma guaman Shaharuddin Hidayu & Marwaliz di pejabat SPRM Kelantan di sini, pada 3 petang hari ini.

Peguambela dan Peguamcara Lt Kol (B) Azhar Ahmad, berkata, proses membawa pulang jenazah pada 18 Mei 2019 yang dilakukan pada hari sama kemalangan berlaku didakwa mempunyai unsur ketidakpatuhan kepada prosedur sekali gus menimbulkan keraguan.

"Satu daripada syarat wajib untuk urusan membawa pulang jenazah yang meninggal dunia di luar negara adalah mempunyai surat kebenaran daripada pejabat Konsulat Malaysia di Songkla, Thailand tapi dalam kes ini, tiada dikeluarkan surat berkenaan.

"Begitu juga dengan tempoh yang singkat urusan membawa pulang jenazah yang kebiasaannya mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari tapi untuk jenazah ini tidak sampai 12 jam sudah tiba di negara ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azhar berkata, pihaknya juga sudah ke Wisma Putra di Putrajaya dan mendakwa ada pengesahan daripada seorang pegawai di sana bahawa urusan membawa pulang Allahyarham Faziani tidak mengikut prosedur sebenar.

Katanya, daripada maklumat yang dikumpulkan, pihaknya menasihati anak guam untuk membuat laporan kepada SPRM kerana mengesyaki ada unsur ketidaktpatuhan.

"Laporan lengkap sudah dibuat dan kami berharap pihak SPRM dapat menjalankan siasatan terperinci agar keluarga dapat mengetahui apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Faisal berharap agar siasatan dapat disegerakan bagi mengelakkan masalah yang akan timbul di kemudian hari.

Katanya, tidak dinafikan proses yang cepat dan lancar ketika membawa pulang jenazah adiknya pada Mac tiga tahun lalu agak melegakan tapi dalam masa yang sama menimbulkan keraguan keluarga mangsa yang tiada di lokasi kejadian serta sepanjang pengurusan kemasukan jenazah itu ke Malaysia.

"Ia berlaku terlalu pantas sedangkan arwah bapa kami yang meninggal dunia di luar negara dahulu memakan masa paling kurang dua hari sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang.

"Apabila berlaku terlalu cepat (proses membawa pulang jenazah), ia memang satu audit yang bagus tapi dibimbangi menimbulkan masalah di kemudian hari," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia, manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand ketika dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, untuk memberi sumbangan.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dan sebuah lori yang mengakibatkan wanita itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim, cedera.

 MOHD Faisal (tengah) bersama peguam selepas membuat laporan di SPRM. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MOHD Faisal (tengah) bersama peguam selepas membuat laporan di SPRM. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 5:26 PM