Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Perasaan terkilan menyelubungi bapa kepada dua anak apabila gagal menyelamatkan tiga ahli keluarganya yang lemas di kawasan Air Terjun Lata Changkah, Ulu Seladang di sini, semalam.

Ahmad Syariefuddin Hashim, 30, yang juga petugas kesihatan meluahkan perasaan itu ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu di sini, malam tadi.

Kejadian yang berlaku 2.30 petang itu mengorbankan nyawa adik iparnya iaitu Syariatul Nurfatihah Mohd Dera, 28, dan Syariatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aisyah Mazalan, 19.

Isteri Ahmad Syariefuddin yang juga kakak sulung kepada dua beradik itu iaitu Sariatu Syafira, 32, juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan ahli keluarganya yang lain termasuk seorang sepupu lelaki yang berusia 13 tahun.

Menurut Ahmad Syariefuddin, mereka sekeluarga sampai di lokasi berkenaan jam 12.30 tengah hari, sebelum berkelah dan mandi di kawasan perkelahan itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga mahu pulang ke rumah ibu saudara di Kampung Seri Bayas di sini, sebelum salah seorang daripada mangsa tergelincir dan menarik dua yang lain.

"Dalam keadaan kelam kabut, saya bersama isteri dan sepupu lelaki masing-masing cuba menyelamatkan mereka.

"Kami bertiga juga hampir lemas dan dengan kudrat yang ada, saya hanya dapat menyelamatkan isteri dan sepupu lelaki.

"Saya cuba sedaya upaya menyelamatkan mereka (dua adik ipar dan sepupu ipar) tetapi gagal," katanya.

Ahmad Syariefuddin berkata, tiga mangsa diselamatkan penduduk kampung yang datang tidak lama kemudian sebelum mereka dibawa ke Hospital Setiu.

"Namun, Allah lebih sayangkan mereka dan sudah tertulis ajal mereka tetap jauh di sudut hati saya, memang terkilan kerana gagal menyelamatkan mereka," katanya.

Jenazah Syariatul Nurfatihah dan Syariatul Noor Syafiqa yang juga anak ketiga dan keempat (bongsu) bersama sepupu mereka selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras, Kuala Nerus, jam 4.30 pagi tadi.

NSTP sebelum ini melaporkan dua beradik antara tiga sekeluarga yang ditemukan lemas selepas berkelah di kawasan Air Terjun Lata Changkah, Ulu Seladang di sini.

Berita berkaitan:

  • Tragedi berkelah, 3 sekeluarga lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 8:26 AM
     Ahmad Syariefuddin Hashim,30, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
    Ahmad Syariefuddin Hashim,30, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY