Jenazah Asma dan Fatin Atirah yang tiba di Kampung Surau 7.30 malam tadi. FOTO ihsan keluarga
Jenazah Asma dan Fatin Atirah yang tiba di Kampung Surau 7.30 malam tadi. FOTO ihsan keluarga
Siti Nadzirah Che Mud

Machang: Jenazah tiga bersaudara yang lemas ketika mandi di Hutan Lipur Lata Changkah, Setiu tiba di rumah mereka di Kampung Surau dan Kampung Tok Bok di sini jam 7.30 malam tadi.

Jenazah Asiah Zakirah Abdul Rahman, 23, dibawa ke Kampung Tok Bok manakala jenazah Asma Shaari, 21, dan Fatin Athirah Ahmad Sabri, 20 dibawa ke Kampung Surau.

Saudara mangsa, Ahmad Saifudin Mohd Nor, 31, berkata,tiga bersaudara itu akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pulai Chondong di sini 10 pagi esok.

Menurutnya, berita mengejut itu diketahui melalui WhatsApp keluarga 4 petang tadi.

" Pemergiannya amat kami rasai, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi," katanya ketika dihubungi.

Harian Metro melaporkan tiga daripada empat bersaudara meninggal dunia selepas lemas ketika mandi di Hutan Lipur Lata Changkah, Setiu kira-kira 12 tengah hari tadi.

Asiah Zakira meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua sepupunya Asma dan Fatin Athirah Ahmad disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 12:25 AM