PEGAWAI KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap lori tangki yang digunakan bagi menyeleweng diesel subsidi di Lukut.
PEGAWAI KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap lori tangki yang digunakan bagi menyeleweng diesel subsidi di Lukut.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: Cuba curi diesel subsidi sebanyak mungkin sepanjang Ramadan dan Syawal ini dengan andaian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperlahankan operasi.

Itu antara tindakan sindiket penyelewengan diesel subsidi yang dikesan bersubahat dengan pemilik stesen minyak bagi mengumpul sebanyak mungkin bahan api berkenaan.

Keuntungan 'atas angin' sehingga RM1 bagi setiap liter diesel subsidi dicuri dan dijual kepada pihak industri menyebabkan kegiatan ini semakin berleluasa sejak awal tahun ini.

Terbaru KPDNHEP Putrajaya berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi susulan serbuan dilakukan di sebuah stesen minyak di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, Khamis lalu.

Jurucakap KPDNHEP berkata, operasi itu adalah hasil risikan dilakukan anggota KPDNHEP sejak beberapa minggu lalu.

"Ketika serbuan dilakukan, kami menemui sebuah lori tangki digunakan untuk mengisi diesel dianggarkan bernilai RM500. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pam menghubungkan tangki asal kenderaan itu terus ke dalam tiga lagi tangki tersembunyi di dalam lori itu.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui diesel dianggarkan berjumlah 3,232 liter di dalam lori itu," katanya.

Susulan itu semua diesel, lori tangki, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV), resit jualan serta belian selain dokumen stesen minyak berkenaan disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM32,450. Lelaki warga tempatan berumur 24 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran diesel subsidi itu bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

"KPDNHEP ingin memberikan amaran keras ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak terutama membabitkan 24 stesen minyak di kawasan Daerah Port Dickson supaya mematuhi perundangan," katanya.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala syarikat boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM 5,000,000 bagi kesalahan berikutnya," katanya.

Sebelum ini KPDNHEP turut menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi hasil serbuan di sebuah stesen minyak di Teluk Kemang, Port Dickson.

Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan bersama kira-kira 232 liter diesel cuba diseleweng.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 7:00 AM