Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala lumpur: Makin menjadi-jadi dan haloba! Ia susulan kemunculan puluhan sindiket atau 'penyangak diesel' yang mengaut untung atas angin mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

Lonjakan kos sumber tenaga susulan krisis Russia-Ukraine diambil kesempatan sindiket tempatan meningkatkan kegiatan penyelewengan serta menjual diesel subsidi dicuri kepada pihak industri.

Hasil maklumat diperolehi Harian Metro, perbezaan tinggi antara harga diesel industri sekitar RM3.30 hingga RM3.80 sen seliter berbanding harga runcit diesel subsidi iaitu RM2.15 seliter menjadi 'tarikan' utama selain punca aktiviti penyelewengan semakin berleluasa.

Sumber berkata, sindiket penyelewengan diesel subsidi mampu memperoleh keuntungan besar sekitar 50 sen hingga RM1 ringgit bagi setiap liter diesel diseleweng.

"Mengambil kira perbezaan harga diesel subsidi dan diesel kegunaan industri iaitu sebanyak RM1.65 sen, sindiket masih mampu menjana keuntungan besar apabila ia dijual di pasaran gelap pada harga RM2.50 sen atau RM2.60 seliter.

"Di sini wujudnya komplot rantaian antara sindiket dan segelintir pengusaha stesen minyak yang membekalkan diesel subsidi kepada mereka.

"Melalui harga pam runcit diesel RM2.15 seliter ini, pengusaha stesen minyak akan membenarkan kumpulan sindiket membeli sebanyak mungkin diesel subsidi menggunakan lori diubah suai," katanya kepada Harian Metro

Menurutnya, ada antara lori digunakan sudah diubah suai bagi membolehkan dua muncung nozel digunakan serentak dalam satu masa.

"Diesel disedut masuk kemudian dipindahkan serta merta menggunakan motor khas ke tangki tersembunyi di atas lori. Kegiatan ini dilakukan berulang kali menggunakan lori sama," katanya.

Menurutnya, segelintir pengusaha stesen minyak ini bukanlah rakan kongsi sindiket sebaliknya mereka hanya mahu 'melariskan' jualan diesel sebanyak mungkin.

"Mereka (pengusaha stesen minyak) hanya mengejar volume (kuantiti diesel dijual) tanpa mengambil kira siapa yang membelinya termasuk rangkaian sindiket penyelewengan diesel ini.

"Bukan semua mereka (pemilik stesen minyak) bersubahat namun mereka tahu dan ambil sikap 'pejam mata' jika ada lori milik sindiket membeli diesel dalam kuantiti besar.

"Sepatutnya pengusaha stesen minyak ini perlu memantau dan bertanggung jawab menyenarai hitam lori - lori yang digunakan untuk mencuri diesel subsidi ini," katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan dikumpul, ada lori - lori milik sindiket sedia 'berkampung' di stesen minyak untuk mengisi penuh diesel sebelum berlalu pergi.

"Pemandu lori terbabit didapati tidak membuat pembayaran tunai di kaunter stesen minyak berkenaan. Besar kemungkinan wujud MoU (memorandum persefahaman) apabila sindiket akan membayar diesel dibeli menggunakan kaedah lain dipersetujui.

"Setakat ini pihak KPDNHEP sudah memberi amaran keras dan terdapat beberapa stesen minyak dan pemborong sudah digantung lesen dan kebenaran kerana melakukan aktiviti penyelewengan ini," katanya.

Menurutnya, berbanding petrol atau gas petroleum cecair (LPG) subsidi, margin diperolehi sindiket melalui hasil penjualan diesel subsidi kini lebih menguntungkan.

Difahamkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu ini dan syarikat terbabit boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak diesel.

"Jika disabitkan dengan kesalahan mengikut Akta 613 ini, suspek boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi," katanya.

TANGKI khas pada bahagian belakang lori yang digunakan untuk menyembunyikan diesel subsidi.
TANGKI khas pada bahagian belakang lori yang digunakan untuk menyembunyikan diesel subsidi.

Kuncu sindiket ulang-alik beli diesel

Ibarat kerja 'tentera semut' apabila kuncu sindiket diesel akan berulang alik ke stesen minyak untuk membeli diesel sebelum dibawa pulang ke markas tersembunyi.

Mereka diarah menggunakan lori siap diubah suai atau diletakkan tangki tambahan bagi mengisi sebanyak mungkin diesel subsidi yang mahu diseleweng.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata, terbaru kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi itu dibongkar anggota Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya susulan risikan dilakukan terhadap aktiviti di stesen minyak dan stor haram milik sindiket.

Menurutnya, hasil usaha dilakukan, pihaknya berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi susulan dua serbuan berasingan di sebuah stesen minyak dan premis di Klang, Selangor kelmarin.

"Serbuan bermula jam 10 pagi membabitkan 12 pegawai dan anggota KPDNHEP di sebuah stesen minyak.

"Ketika serbuan dilakukan, kami mengesan sebuah lori sedang mengisi diesel bersubsidi di dua pam berasingan di stesen minyak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 12:00 PM