Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Melarikan diri kerana takut ditangkap polis. Itu tindakan yang dilakukan oleh lapan wanita di Kelantan yang dikehendaki polis.

Mereka antaranya terbabit dengan kes bunuh, samun dan curi itu melarikan diri sejak 17 tahun yang lalu.

Mengulas isu itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, wanita-wanita yang dikehendaki polis ini mungkin masih berada di pedalaman Kelantan dan kehidupan mereka suka berpindah-randah.

Katanya, mereka berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain kerana tidak mahu dijejaki polis seterusnya akan ditangkap.

"Pihak kita tetap mencari mereka termasuk berhubung dengan polis luar Kelantan untuk menjejaki mereka bagi menyelesaikan kes yang tertangguh.

"Namun, ada dalam kalangan mereka ini mungkin sudah melarikan diri ke negara jiran, Thailand dan sudah bertukar identiti serta nama bagi mengelakkan ia dikesan pihak polis.

"Kemungkinan mereka yang melarikan diri ke negara jiran juga sudah berkahwin dengan warganegara sana dan takut untuk pulang ke Kelantan kerana bimbang ditahan polis," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat (IPK) Polis Kontinjen Kelantan di sini.

SHAFIEN (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar suspek lapan wanita yang terbabit dengan kes bunuh, samun dan curi dikehendaki sejak 17 tahun lalu ketika ditemui di pejabatnya di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan gambar suspek lapan wanita yang terbabit dengan kes bunuh, samun dan curi dikehendaki sejak 17 tahun lalu ketika ditemui di pejabatnya di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata, bagi mengelakkan identiti dikesan, dipercayai ada dalam mereka ini menjalani pembedahan plastik untuk bertukar wajah.

Katanya, jika ini yang berlaku, agak sukar untuk pihak polis menjejaki kerana mereka sanggup tukar identiti dan wajah bagi melarikan diri daripada polis.

"Suspek wanita ini boleh bertukar wajah dan fizikal, lebih-lebih lagi yang melarikan diri sejak 2005 hingga menyebabkan sukar untuk pihak polis mengecam mereka. Berbanding suspek lelaki, walaupun mereka melarikan diri namun wajah dan fizikal tidak banyak berubah.

"Perkara ini memberi cabaran kepada pihak kita namun pihak polis tidak pernah berhenti untuk menjejaki mereka termasuk kerap pergi ke rumah keluarga, namun mereka tidak memberi kerjasama dan memaklumkan sudah tidak berhubung lama dengan wanita berkenaan.

"Kemungkinan pihak keluarga tahu lokasi suspek berada, namun mereka mahu melindungi suspek supaya tidak dapat ditangkap," katanya.

Shafien berkata, suspek wanita yang melarikan diri, mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan masing-masing mempunyai satu kes.

Katanya, berbeza dengan suspek lelaki, mereka kebanyakan mempunyai rekod kesalahan lampau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 12:00 PM