Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Kelantan menubuhkan pasukan khas untuk mengesan lapan wanita yang dikehendaki polis.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, pasukan berkenaan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris.

Menurutnya, pasukan khas itu akan dibantu oleh beberapa pegawai dan anggota untuk mengesan kesemua suspek termasuk yang dikehendaki polis sejak 17 tahun lalu.

"Pasukan ini akan mencari dan memburu kesemua suspek termasuk pergi ke rumah untuk bertemu keluarga bagi bertanya lokasi suspek.

"Selain itu, pihak kita juga akan berjumpa dengan rakan-rakan suspek yang berkemungkinan tahu dan masih berhubung dengan mereka yang dikehendaki ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya akan terus mencari dan memburu kesemua suspek sehingga mereka berjaya ditangkap.

Beliau berharap semua pihak dan orang ramai memberi kerjasama kepada pihak polis sekiranya ada terjumpa dengan suspek.

"Mereka boleh berhubung terus di balai polis yang berdekatan untuk memberi maklumat berkenaan suspek," katanya.

Metro Ahad hari ini melaporkan, lapan wanita yang dikehendaki polis Kelantan melarikan diri kerana takut ditangkap polis.

Mereka antaranya terbabit dengan kes bunuh, samun dan curi itu melarikan diri sejak 17 tahun yang lalu.

Berita berkaitan:

  • Bedah plastik takut polis cam wajah
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 4:22 PM