Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis Kelantan menumpaskan sindiket pecah rumah yang mendalangi 27 kes membabitkan kerugian RM600,000 melalui pelaksanaan Ops Pintu GoldCar.

Menerusi ops berkenaan, polis menahan tujuh lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun membabitkan empat daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat sejak April lalu hingga bulan ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, empat daripada suspek ialah pelaku, manakala selebihnya pembeli barangan hasil kegiatan kumpulan berkenaan.

"Pelaku kes ini diketuai lelaki bernama Malik, 35, berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, yang juga memiliki 18 rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah, curi kenderaan, samun serta penyalahgunaan dadah selain bekas orang pengawasan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Hasil tangkapan ini, polis merampas 10 kereta pelbagai jenis seperti Proton Wira, Perodua Axia, Honda Civic, Toyota Vios, Perodua Kelisa serta Honda Jazz, selain telefon bimbit komputer riba, jam tangan dan dron.

"Modus operandi digunakan adalah memecah masuk rumah untuk mendapat barangan kemas atau harta lain, dan jika misi mereka gagal dan terdapat kereta di halaman rumah, kenderaan terbabit yang akan 'diangkut' pergi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

DATUK Shafien Mamat (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 27 kes jenayah pecah rumah di empat daerah selepas berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan kerugian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Shafien Mamat (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 27 kes jenayah pecah rumah di empat daerah selepas berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan kerugian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Shafien berkata, dua suspek daripada kumpulan itu sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman penjara selama enam bulan manakala baki ahli kumpulan lain masih dalam tempoh reman sehingga 28 Mei di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kerana berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah, GoldCar yang terbesar bukan sahaja di Kelantan, malah mereka difahamkan turut melakukan kegiatan sama di daerah Besut, Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 5:21 PM