Siti Rohana Idris


Tumpat: Kejadian lelaki ditetak dengan parang oleh lelaki bertopeng di rumah di Kampung Bunut Rendang, Pasir Puteh, Jumaat lalu dipercayai bermotifkan dendam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, hasil siasatan awal yang dibuat, pihaknya percaya ia mempunyai kaitan antara mangsa, suspek dan seorang wanita.

"Setakat ini kita kenal pasti lebih daripada dua suspek dan usaha mengesan semua mereka sedang dibuat.

"Hasil siasatan awal dipercayai ada unsur balas dendam kerana hubungan mangsa, suspek dan orang ketiga," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafien berkata, mangsa kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, mangsa, 27, sedang tidur di dalam bilik bersama seorang rakan sebelum didatangi lelaki bertopeng yang memakai sarung tangan hitam sambil memegang parang di tangan kanan.

Lelaki itu terus menetak mangsa dan kemudian mengambil telefon bimbit serta barang milik mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan samun bersenjata.

Shafien (kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Turus Telekomunikasi (Teknikal) Unit Telekomukasi dan Sistem Maklumat Jabatan logistik Teknologi Bukit Aman, Superintenden Nor Sham Yaakob (dua kanan) berhubung penggunaan pengujian peralatan TMR. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Shafien (kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Turus Telekomunikasi (Teknikal) Unit Telekomukasi dan Sistem Maklumat Jabatan logistik Teknologi Bukit Aman, Superintenden Nor Sham Yaakob (dua kanan) berhubung penggunaan pengujian peralatan TMR. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, Shafien ditemui di jeti Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini ketika meninjau latihan 'Transportable Mobile Radio' (TMR) yang akan digunakan dalam misi menyelamat di kawasan tiada liputan 'walkie-talkie.'

Dalam tinjauan yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Mohd Azmir Damiri, Shafien dibawa menaiki bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk melihat pengujian peralatan itu di atas bot.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 12:49 PM