TAZKIRAH ringkas sebelum waktu berbuka.
TAZKIRAH ringkas sebelum waktu berbuka.
RAKAN-rakan di Liverpool sering tolong-menolong
RAKAN-rakan di Liverpool sering tolong-menolong
IRFAN (kiri) berbuka bersama orang Somalia di sebuah masjid di Liverpool.
IRFAN (kiri) berbuka bersama orang Somalia di sebuah masjid di Liverpool.
PENUNTUT dan warga Malaysia yang bekerja di Liverpool disatukan dalam program berbuka puasa.
PENUNTUT dan warga Malaysia yang bekerja di Liverpool disatukan dalam program berbuka puasa.
ANTARA juadah yang dimasak bersama rakan.
ANTARA juadah yang dimasak bersama rakan.
BUAH-BUAHAN dan kuih-muih tradisional dijamu ketika Majlis Berbuka Puasa Liverpool 2016.
BUAH-BUAHAN dan kuih-muih tradisional dijamu ketika Majlis Berbuka Puasa Liverpool 2016.
Muhammad Irfan Abd Aziz

Ramadan tidak membataskan aktiviti umat Islam walau di mana juga mereka berada. Meskipun hanya berbaki 11 hari lagi, umat Islam di seluruh dunia terus menggandakan ibadat di bulan berkat ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Minggu ini NUANSA membawa pembaca bersama Muhammad Irfan Abd Aziz menceritakan pengalamannya menyambut Ramadan di Liverpool, United Kingdom.

“Syukur Alhamdulillah apabila ditawarkan belajar di sini kerana ia cita-cita saya yang mahu melanjutkan pelajaran di luar negara.

Pun begitu, pelbagai suka duka dan cabaran selaku pelajar perlu ditempuhi dengan tabah berbanding rakan di tanah air pada bulan puasa.

Namun, keakraban dan hubungan persaudaraan di sini membolehkan penuntut dan warga Malaysia menjalinkan ukhuwah lebih akrab.

Walaupun ada yang sudah bermastautin di sini dan bekerja dalam jangka masa lama, komuniti Islam sangat mengalu-alukan rakan tanah air yang sedang belajar atau berhijrah ke United Kingdom (UK).

Justeru, walaupun berjauhan dengan keluarga, kemeriahan Ramadan tetap terasa seperti di tanah air. Ini tahun kedua saya beraya di Liverpool bersama rakan yang turut mengambil jurusan Sarjana Muda Kimia di Universiti Liverpool selain beberapa penuntut lain dalam jurusan berlainan.

Ketika ini, Liverpool mengalami musim panas dengan perbezaan masa selama lapan jam berbanding di tanah air. Malah, waktu siangnya lebih panjang daripada malam.

Saya cuba menyesuaikan diri agar tidak menghadapi masalah menjalani aktiviti seharian dan tidak ketinggalan dengan sistem pembelajaran di UK.

Ramadan tahun ini mengajar saya menjadi lebih tabah. Ini kerana tempoh kami berpuasa di sini selama 19 jam berbanding di Malaysia 14 jam.

Sepanjang berpuasa, pelbagai pengisian dibuat selain belajar, namun tidak membabitkan aktiviti luar kerana sekarang masih musim panas.

Disebabkan sekarang musim bola, saya ‘layan’ tonton Euro dan Copa America pada waktu petang sehingga tiba waktu berbuka pada jam 9.40 malam saya berkumpul bersama rakan senegara menikmati pelbagai juadah antarabangsa dan masakan Malaysia.

Sepanjang Ramadan ini, saya membantu masjid berdekatan menyediakan makanan untuk berbuka puasa dan kemaskannya selepas iftar. Kebiasaannya, saya mula menyediakan makanan selepas waktu Asar sekitar jam 6.30 petang. Tempoh sejam kemudian pula digunakan untuk menyusun pinggan, bahagikan kurma dan buah-buahan untuk 120 orang.

Saya akan datang semula ke masjid 30 minit sebelum waktu berbuka untuk membantu apa yang perlu. Selepas Maghrib, kami akan kemas masjid, bersihkan tempat berbuka puasa dan buang sisa makanan sebelum kawasan masjid digunakan pula untuk solat Isyak dan Tarawih.

Selalunya, saya akan berbuka di masjid di sini yang kebanyakannya dikunjungi orang Somalia, Sudan dan Yaman. Disebabkan komuniti ini lebih ramai di masjid, juadah berbuka yang sering dihidangkan ialah malawax (lempeng Somali), samosa, bur (cucur manis kembung Somali), masakan seperti nasi dengan kari kambing, ayam dan ful medames (kacang pol) selain buah-buahan.

Biasanya, saya berbuka puasa di masjid bersama rakan senegara iaitu Hariz Said. Saya, Hariz dan lima rakan kami dari Sudan dan Somalia sering membantu menyediakan makanan berbuka.

Disebabkan ramai komuniti Islam di sini, tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal terutama nasi. Malah, saya tidak menghadapi masalah untuk berbuka atau bersahur kerana mudah mendapatkan nasi yang menjadi makanan asasi komuniti Islam di sini.

Tempat beribadat yang sering dikunjungi komuniti Melayu di Liverpool ialah Masjid Ar-Rahman dan Masjid Abdullah Quilliam. Buat pengetahuan semua, Masjid Abdullah Quilliam ialah masjid pertama di England.

Pada minggu lalu komuniti Melayu di Liverpool menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Liverpool 2016 di Crawford House Center. Program berkenaan bagi merai dan mengeratkan silaturahim sesama kami. Pada masa ini jugalah komuniti Malaysia menghidangkan pelbagai masakan tradisional yang pastinya membuka selera. Terubat rindu pada keluarga di Malaysia apabila dapat menikmati pelbagai masakan kampung.

Masyarakat Malaysia atau orang Melayu di Liverpool seramai 97 dewasa dan jika termasuk kanak-kanak dianggarkan sehingga 140 orang.

Waktu sahur dan berbuka agak dekat kerana Subuh bermula jam 2.40 pagi. Justeru, dalam tempoh lima jam itu saya banyakkan minum air masak bagi membolehkan tubuh bertenaga bagi menghadapi waktu puasa yang panjang.

Makanan pada waktu sahur pula selalunya lebih ringan seperti nasi goreng.

Kebanyakan pelajar lepasan ijazah sarjana yang sudah berkeluarga pula lebih santai berbuka bersama keluarga.

Biasanya saya bersahur bersama 12 pelajar lelaki lepasan ijazah sarjana muda dari Malaysia. Setiap hari, kami berbuka, bersahur dan solat Tarawih bersama-sama. Mereka dari empat rumah berlainan tetapi tinggal berdekatan dalam kawasan sama di Kensington. Kami akan bergilir-gilir memasak hidangan untuk berbuka dan bersahur seperti nasi ayam dan bubur lambuk mengikut rumah masing-masing.

Alhamdulillah, rakan senegara sering bantu-membantu dan memberi sokongan bagi memenuhi sebarang kekurangan. Dengan cara sebegini sebagai pelajar di perantauan, saya dapat fokus menghadapi pelajaran dan penuhi niat asal ke sini untuk membawa pulang segulung ijazah.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa untuk ayah Abd Aziz Saad, mak Maria Abdul Rahman, adik-beradik Muhammad Izzat Aidil, Aida Adriana dan Muhammad Imran Asyraf yang berada di Changlun, Kedah. Doakan saya pulang dengan kejayaan membanggakan. Selamat berpuasa... puasa jangan tak puasa.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 12:59 PM