ANDI enggan buat sesuatu tanpa meletakkan sepenuh hati atau ikut identiti sebenar
ANDI enggan buat sesuatu tanpa meletakkan sepenuh hati atau ikut identiti sebenar
Georgie Joseph

CORAK pembawaan diri penyanyi Andi Bernadee dalam kariernya tampak sedikit berbeza dan mengikut acuan tersendiri. Dia kelihatan lebih selesa dengan caranya baik pada karya dan pergaulan.

Andi, 31, mengakui dia senang mencipta rentak sendiri. Dia tidak mahu terikat dengan aturan ketat untuk memajukan dirinya, mengikut rentak artis lain atau apa dimahukan peminat.

Baginya, setiap perkara yang dilakukan dalam kerjaya seninya tertakluk kesesuaian jiwanya. Dia enggan memaksa untuk lakukan sesuatu tanpa meletakkan sepenuh hatinya atau mengikut identiti sebenar.

"Bagi saya, lebih penting kalau mengikut rentak sendiri dalam memilih apa yang terbaik untuk kerjaya sendiri. Sebagai contoh, apa jenis lagu yang saya mahu, nak berlakon ataupun perkara seumpama.

"Tiada ketetapan yang saya kena turuti dengan terpaksa dan lebih puas apabila saya 'go with the flow'. Demikian juga untuk mencetus cerita panas, jarang pun terlihat pada saya.

"Apa yang lebih menjadi fokus adalah bagaimana saya kemudi perjalanan karier dengan lebih berhemah. Biar saya mengatur agenda sendiri mengikut apa termampu tanpa menurut saja pengaruh orang luar," katanya.

Terbaharu tampil dengan lagu berjudul Du, Andi juga sengaja bereksperimen dan tidak tampilkan sebarang gimik. Dia sekadar melancarkan lagu itu dengan lebih bersahaja.

Berbanding sebelum ini, ada saja kelainan ditampilkan terlebih dahulu menjelang pelancaran singlenya. Dia menyedari kini penting sebenarnya elemen 'mengusik' sebelum melancarkan lagu.

"Kali ini saya memang tidak buat apa-apa selain sekadar lancarkan lagu Du begitu saja. Saya nak tengok bagaimana penerimaan peminat terhadap lagu ini tanpa melakukan sebarang gimik.

"Ternyata memang agak perlahan saja sambutannya jika dibandingkan dengan lagu terdahulu. Jadi, saya sudah kenal pasti apa strategi yang lebih berkesan selepas ini.

TIDAK sabar lancar album penuh pada tahun ini.
TIDAK sabar lancar album penuh pada tahun ini.

"Saya akui memang penting juga cara promosi lagu dengan gimik sebenarnya. Ia mampu meraih lebih perhatian dengan cara itu dan semestinya sangat berguna kalau nakkan lebih ramai ingin tahu lagu seseorang penyanyi," katanya.

Andi turut berkongsi kini teruja menantikan pelancaran album penuhnya yang dijadualkan pada hujung tahun ini. Kegembiraan itu berganda selepas sebuah lagu akan datangnya adalah hasil ciptaan komposer dari Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, dia juga akan menampilkan lebih banyak sisi berbeza menerusi lagu dimuatkan dalam album itu. Bukan sekadar genre 'reggaeton' yang jadi identiti muziknya, bahkan ada rentak baharu lain.

"Buat masa sekarang, memang saya sangat selesa dengan identiti muzik sebegitu termasuk untuk lagu Du. Sejak dulu, ia lebih dekat serta mengukuhkan lagi hala tuju karya bagaimana yang tepat untuk saya.

"Bagaimanapun, bukan saya tidak berani nak cuba genre lain. Sebaliknya, akan ada lagu dalam album itu yang bakal mengetengahkan genre lain serta mencabar vokal.

"Saya juga tidak sabar untuk keluarkan lagu hasil ciptaan penerbit dari AS. Semestinya kerjasama itu sebuah pencapaian yang cukup bermakna secara peribadi dalam kerjaya nyanyian," katanya.

Sangat suka berlakon

Selain cemerlang sebagai penyanyi, Andi juga berjaya membuktikan bakat lakonannya dimiliki. Biarpun masih setahun jagung menceburi bidang itu, dia berjaya meninggalkan impak tersendiri.

Popular menerusi drama Melastik Ke Hatimu bergandingan dengan Janna Nick, dia jelas cukup seronok bergelar pelakon. Bahkan, dia ingin sentiasa meneroka sejauh mana bakatnya dalam bidang itu.

"Menyentuh mengenai lakonan, selalu tanggapan dilontarkan adalah ia sangat memenatkan. Maklumlah, kena habiskan banyak masa menunggu di lokasi penggambaran.

ANDI utama keselesaan atur rentak sendiri.
ANDI utama keselesaan atur rentak sendiri.

"Berbanding menyanyi yang mana kerjanya sekejap sahaja dan terus mendapat bayaran lumayan, berlakon kena korbankan masa. Tapi, saya sebaliknya cukup suka apabila jalani penggambaran.

"Tidak terasa pun buang masa di lokasi dan setiap prosesnya memang menyeronokkan. Masa diluangkan bersama produksi dan pelakon lain mengajar saya banyak perkara serta menimba ilmu baharu," katanya.

Andi juga berkongsi dia akan memasuki lokasi penggambaran pada Julai depan bagi menjayakan drama Melastik Ke Hatimu 2.

Andi yang tampil dalam program aneka ragam Master In The House Malaysia (MITHM) tidak menolak akan cuba bidang pengacaraan pula selepas ini. Namun, dia akui perlu benar-benar bersedia baru yakin ceburinya.

"Memang sudah ada pihak yang merisik saya untuk menjadi pengacara. Bagaimanapun, saya terpaksa tolak kerana buat masa sekarang, belum berani dan yakin lagi dapat melunaskan tanggungjawab itu.

"Lagipun saya jenis yang gagap juga kalau bercakap. Lain kalau dalam program seperti MITHM yang cukup santai. Tapi, saya kira pembabitan dalam program itu pun sudah cukup membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 6:00 AM