ANDI bebas bawa karakter Niyaz Aqasha dalam Perisik Cinta Tak Diundang dengan cara sendiri.
ANDI bebas bawa karakter Niyaz Aqasha dalam Perisik Cinta Tak Diundang dengan cara sendiri.
Norhayati Nordin


PERNAH tular dengan lagu Tak Tun Tuang nyanyian asal penyanyi dari Indonesia dikenali Upiak sekitar tiga tahun lalu, dari situ nama penyanyi Andi Bernadee, 30, mula menjadi sebutan ramai.

Bagi memahat kukuh bakat nyanyiannya, Andi yang menyertai pertandingan Big Stage musim pertama pada 2018 tampil dengan beberapa single popular seperti Satu Peluang, Donde, Shimmy, Kais Pagi Kais Petang dan Penat.

Namun, sejak tahun lalu pemilik nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile ini aktif mencuba nasib sebagai pelakon. Malah, rezeki buatnya apabila dia terus diberi peluang melakonkan watak utama.

Kini muncul dengan drama terbaharu berjudul Perisik Cinta Tak Diundang di slot Akasia TV3, jam 7 malam dari Isnin hingga Jumaat, Andi yang bekerjasama buat kali kedua dengan pengarah Azmi Hatta melakonkan watak Niyaz Aqasha.

Ditemui pada sidang media drama itu secara virtual baru-baru ini, Andi berkata, dia tidak menyangka akhirnya mendapat peluang berlakon drama untuk slot popular seperti Akasia. Apatah lagi, katanya dia pelakon baharu yang masih perlu menimba banyak pengalaman lagi.

"Sebagai bakat baharu seni lakon, saya masih tak banyak pengalaman kerana baharu menjayakan tiga karya drama. Jadi, agak terlalu awal untuk saya mendapat peluang sebesar ini. Bagaimanapun, soal rezeki tiada siapa yang tahu dan Allah sudah tentukan.

"Saya pun tak fikir lama untuk terima projek drama ini kerana tertarik dengan watak Niyaz Aqasha itu serta jalan ceritanya. Malah, untuk melakonkan karekter ini, saya juga diberi kebebasan membawanya dengan cara sendiri dan tidak begitu terikat. Ia menyeronokkan," katanya.

Menurut anak jati dari Kota Kinabalu, Sabah ini lagi, dia juga semakin selesa membina kerjaya lakonannya selain tumpuan pada nyanyian. Katanya, sekarang cinta pada kerjaya seni sebagai penyanyi dan pelakon.

"Saya tak boleh memilih salah satu daripadanya kerana memang sudah jatuh cinta dalam dua cabang seni ini. Ditambah kerana masih pandemik Covid-19, diakui kerjaya nyanyian saya agak perlahan. Tetapi, tawaran dalam lakonan pula yang semakin kerap diterima.

"Apapun, saya sedar masih banyak kekurangan dalam lakonan perlu diperbaiki dan saya beruntung kerana di lokasi ada ramai yang membantu. Pengarah, rakan pelakon lain dan kru produksi juga sering membantu saya. Kami di set penggambaran umpama sebuah keluarga.

ANDI kini muncul dengan drama Perisik Cinta Tak Diundang di slot Akasia TV3.
ANDI kini muncul dengan drama Perisik Cinta Tak Diundang di slot Akasia TV3.

"Masa yang lama di set penggambaran juga amat membantu saya untuk membina hubungan baik dengan semua orang. Ia membuat saya rasa amat selesa kerana diterima baik oleh orang di sekeliling. Suasana kerja juga ceria," katanya.

Andi yang sebelum ini pernah membintangi drama Melastik Ke Hatimu di TV3 juga berkata, dia berterima kasih kepada semua peminatnya dan penonton yang menerima baik lakonan dipersembahkan. Katanya, dia akan membuat lebih baik lagi.

Mengharapkan bakat seninya terus bersinar cemerlang, Andi berkata, dengan situasi Covid-19 yang melanda negara dan dunia sekarang didoakan semoga cepat berakhir. Katanya, hampir dua tahun kita lalui kehidupan yang penuh mencabar ini.

Selain Andi, barisan pelakon lain yang membintangi drama Perisik Cinta Tak Diundang ialah Shiha Zikir, Hafidz Roshdi, Wani Kayrie, Norish Karman, Esma Daniel, Bella Astilah, Shamsul Ghau Ghau dan ramai lagi.

Duit boleh dicari

Meskipun tidak terpalit dengan kontroversi berbaur peribadi, namun Andi menjadi perhatian dengan masalah seperti situasi dia pernah disihir dan terbaharu, tentunya menjadi mangsa tipu seorang rakan rapatnya.

Baru-baru ini, Andi yang membuat laporan polis terhadap seorang individu juga 'rakan rapat' mendakwa dia ditipu lelaki itu yang pecah amanah membabitkan wang miliknya hasil dari lakonan sebanyak RM70,000.

"Apa yang berlaku sekarang ini, saya anggap sebagai ujian daripada Allah. Sudah bukan rezeki saya untuk wang itu dan saya reda kerana duit masih boleh dicari. Saya akan terus berusaha mencari rezeki lain.

LEBIH hati-hati, perihal duit disonglap Andi jadikan pengajaran.
LEBIH hati-hati, perihal duit disonglap Andi jadikan pengajaran.

"Perkara pun dah berlaku dan ia memerlukan saya lebih berhati-hati selepas ini apabila kenal dan berkawan dengan seseorang. Saya tidak boleh cepat percaya dan mudah berasa simpati hanya kerana status orang itu anak yatim.

"Ini pengajaran yang amat besar pada diri saya. Alhamdulillah, individu terbabit juga sudah ditahan polis dan kes masih dalam siasatan. Malah, apabila siasatan selesai akan ke mahkamah pula, selepas ini," katanya lagi.

Andi berkata, buat masa ini wang kepunyaannya yang disonglap itu belum dipulangkan. Katanya, apapun dalam keadaan sekarang dia mahu bertenang serta mengambil pendekatan positif untuk dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:20 AM