ANDI hormat setiap pandangan orang ramai mengenai lagu Donde yang didakwa mempunyai persamaan dengan lagu luar negara. FOTO Khairul Azhar Ahmad
ANDI hormat setiap pandangan orang ramai mengenai lagu Donde yang didakwa mempunyai persamaan dengan lagu luar negara. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir


"MEMANDAI saja cakap lagu saya sama dengan lagu orang," kata penyanyi Andi Bernadee mengenai single terbarunya Donde yang dikatakan meniru rentak lagu Who Would Think That Love? nyanyian kumpulan Now United.

Andi, 28, atau Andi Azrul Andi Mapangile berkata, lagu ciptaan Alif itu berbeza dari segi melodi dan dihasilkan tanpa rujukan mana-mana lagu.

Menurutnya, tidak adil jika lagu Donde itu dikatakan meniru hanya kerana rentak muzik kedengaran sama dengan lagu terbabit.

"Puas saya dengar berulang kali, tapi tidak tahu bahagian mana yang dikatakan sama dengan lagu Who Would Think That Love? itu.

“Pertama, mereka tidak faham apa itu rentak reggae. Lagi pula, rentak muzik ini memang tidak banyak perbezaan ketara antara satu karya dengan karya lain.

"Cuba dengar betul-betul lagu saya ini dengan lagu mereka, memang jauh berbeza," katanya.

Katanya, tiada langsung rentak sama seperti dimaksudkan, malah dalam muzik memang banyak rentak yang hampir sama seperti balada dan rock.

"Kalau nak tahu, melodi lagu saya dan Alif buat bersama. Kami menyuntik sedikit elemen Melayu," katanya.

Andi bagaimanapun enggan cepat melatah kerana menganggap ia proses untuknya menjadi lebih matang dalam bidang itu.

"Sewaktu saya melancarkan lagu Satu Peluang tahun lalu, ada juga kritikan dilemparkan. Alhamdulillah, lagu ini berjaya diterima baik peminat hingga sekarang.

"Jadi, apabila timbul isu ini bagi saya ia satu lagi bentuk pengajaran baru. Saya percaya hanya mereka yang pakar dalam bidang muzik saja lebih tahu. Namun, saya hormat setiap pandangan daripada orang ramai," katanya.

Donde diambil dari bahasa Sepanyol yang membawa maksud 'di mana' berjaya menduduki tangga teratas carta i Tunes Malaysia selepas dua jam dilancarkan pada Jumaat lalu.

Lagu itu masih menduduki tangga keempat dalam carta i Tunes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 2:39 PM