Baharom Bakar


Jertih: Keluarga seorang guru yang menghidap penyakit misteri terpaksa menjadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebagai 'kediaman' apabila lelaki itu akan berubah sikap sejak hampir setahun lalu.

Wan Zaidah Wan Bakar, 53, berkata ini berikutan suaminya Azhar Nor, 56, secara tiba-tiba boleh bertukar perwatakan menjadi seorang yang panas baran dan pelupa apabila naik ke atas rumah mereka.

Katanya, suaminya mula menghidap penyakit misteri selepas menjalani pembedahan pada bahu kiri akibat mengalami penyakit Raja Satong (bengkak atas tubuh), tahun lalu.

"Selepas menjalani pembedahan itu, doktor memaklumkan suami yang mengajar di sebuah sekolah di Hulu Besut disahkan menghidap penyakit hati menguncup serta terdapat batu pada hempedu.

"Perut suami juga membesar dan mengeluarkan air kejernihan menyebabkan pembedahan terpaksa dilakukan untuk memasang tiub," katanya.

Wan Zaidah berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad di rumahnya di Kampung Jerebu, Pasang Bual, Hulu Besut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Besut, Mohd Rozali Embong dan Ketua Urusetia Wanita DUN Hulu Besut, Azizah Ibrahim.

Mengulas lanjut, Wan Zaidah yang bertugas di pejabat Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), di sini, berkata suaminya bertukar menjadi seorang panas baran dan pelupa jika naik ke atas rumah selepas menjalani rawatan.

WAN Zaidah (kiri) ketika melayani Azhar yang terpaksa tidur di atas kereta selepas mengalami penyakit misteri hampir setahun lalu. FOTO Baharom Bakar
WAN Zaidah (kiri) ketika melayani Azhar yang terpaksa tidur di atas kereta selepas mengalami penyakit misteri hampir setahun lalu. FOTO Baharom Bakar

"Selepas mengalami penyakit misteri dan bagi mengelakkan saya dan anak-anak menjadi mangsa kemarahannya, suami sendiri memilih untuk tidak naik ke atas rumah.

"Dia akan menghabiskan masa termasuk tidur, makan, buang air besar dan kecil di dalam kenderaannya.

"Sejak menjadikan kenderaan sebagai penginapan mulai akhir April tahun lalu lalu, MPV ini pernah mengalami kerosakan pada kotak gear kerana enjin sentiasa dihidupkan 24 jam," katanya.

Wan Zaidah yang mempunyai enam anak berusia 13 hingga 24 tahun, berkata dia membelanjakan kira-kira RM100 sehari untuk kos bahan bakar kenderaan berkenaan.

Selain itu, katanya, dia juga berbelanja RM3,000 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dewasa, tisu basah dan ubat-ubatan.

"Saya bersama anak-anak mendirikan pondok di halaman dan terpaksa bermalam dalam khemah secara bergilir-gilir untuk menjaga suami yang bermalam di atas kenderaan," katanya.

Mengulas kos rawatan, Wan Zaidah memaklumkan sudah membelanjakan lebih RM20,000 untuk mengubati penyakit misteri dialami Azhar termasuk menggunakan khidmat perubatan tradisional.

"Bagaimanapun, usaha dilakukan tidak berhasil apabila penyakit misteri yang dialami suami semakin teruk dan kini saya terpaksa menggantikannya sebagai ketua keluarga," katanya.

Sementara itu, Nawi berkata, pihaknya akan membina lantai simen bagi memudahkan pergerakan Azhar dan ahli keluarga.

"Kita akan usaha agar pembinaan lantai simen di perkarangan rumah Azhar siap segera," katanya yang turut menyumbangkan bantuan kecemasan kepada keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 3:59 PM