Baharom Bakar


Jertih: Satu metrik tan ikan selayang sejuk beku yang dijual pada harga RM5 sekilogram (kg) licin dalam tempoh satu jam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Hulu Besut, di sini, hari ini.

Selain ikan selayang, beras sebanyak 500 kg dan 150 paket bihun juga habis dalam tempoh sama.

Beras seberat lima kilogram dijual pada harga RM10 manakala satu paket bihun pula dijual pada harga RM1 sebungkus di mana diberi subsidi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad.

Nawi yang juga Pengerusi Felcra Bina Sdn Bhd berkata, beliau memberi subsidi sebanyak RM3 bagi setiap lima kg beras, RM2 kg ikan selayang dan RM1.20 setiap satu bungkus bihun.

NAWI (kanan) membantu menjual ikan selayang subsidi pada PJKM yang diadakan di Batu 13, Hulu Besut, hari ini. FOTO Baharom Bakar
NAWI (kanan) membantu menjual ikan selayang subsidi pada PJKM yang diadakan di Batu 13, Hulu Besut, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Katanya, subsidi ke atas tiga barangan itu diberikan bagi meringankan bebanan penduduk yang terkesan akibat kenaikan harga barangan keperluan asas.

"Memandangkan sambutan diberikan, kita mencadangkan agar PJKM diperluaskan di kawasan pedalaman bagi memberi peluang kepada masyarakat membeli pelbagai barangan pada harga lebih murah," katanya ketika ditemui, di sini.

Turut hadir adalah Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Besut, Azani Ismail.

Sementara itu, tinjauan turut mendapati 200 papan atau 6,000 biji telur gred C yang dijual pada harga RM10.80 sen sepapan licin dalam tempoh 30 minit.

Turut dijual pada harga dianggap 'durian runtuh' adalah ayam segar apabila 400 kg yang dijual pada harga RM8.40 sen kg turut licin dalam tempoh setengah jam.

Difahamkan, kira-kira 2,500 penduduk menyerbu ke tapak PJKM seawal 7.45 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 4:08 PM