PELANCONG di Wat Arun iaitu antara lokasi pelancongan popular di Bangkok. FOTO EPA
PELANCONG di Wat Arun iaitu antara lokasi pelancongan popular di Bangkok. FOTO EPA
Reuters

Bangkok: Thailand menjangka mengalu-alukan ratusan ribu pelancong sebulan dengan permulaan program visa tanpa kuarantin.

Ia menjadi model kepada negara yang bergantung kepada pelancongan itu untuk mengimbangi pembukaan semula sempadannya secara selamat dan menjana pendapatan ekonomi.

Mulai 1 Februari, pelawat dari mana-mana negara boleh memohon kemasukan bebas kuarantin ke Thailand dengan syarat mereka divaksin sepenuhnya.

Kerajaan menjangkakan antara 200,000 dan 300,000 pengembara mengambil kesempatan daripada program Test & Go pada Februari sahaja, dengan jumlah dijangka meningkat pada bulan berikutnya.

Pembukaan semula yang lebih luas dengan program bebas kuarantin sebelum ini dihadkan kepada pelawat dari 60 negara sahaja.

Ia sebahagian daripada desakan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha untuk mengamalkan 'strategi hidup dengan Covid' untuk menyelamatkan ekonomi ketika pandemik.

Kira-kira satu perlima daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Thailand sebelum virus itu, disumbangkan daripada aktiviti berkaitan pelancongan.

Thailand naik 18 anak tangga dalam ranking pemulihan Covid-19 terbaharu Bloomberg dengan peningkatan dalam vaksinasi dan penularan wabak didorong oleh Omicron.

Kerajaan Prayut menjangkakan lima juta pelawat asing tahun ini, dengan majoriti ketibaan dijangka dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Jumlah itu mungkin mencecah sembilan juta jika pelancong China dan India kembali, menurut jurucakap Thanakorn Wangboonkongchana.

Data itu juga berubah untuk beberapa bulan akan datang terutama jika dapat menarik pelancong dari China, kumpulan pelawat terbesar ke Thailand sebelum Covid-19, menurut Tim Leelahaphan, ahli ekonomi yang berpangkalan di Bangkok.

Thailand bereksperimen dengan beberapa rancangan sejak dua tahun lalu untuk memulihkan sektor pelancongan yang menarik 40 juta pelancong asing dan menjana lebih AS$60 bilion (RM251 bilion) pada 2019.

Kira-kira 350,000 pelawat mengambil kesempatan daripada fasa pertama program Test & Go sebelum ia digantung pada akhir Disember untuk mengelakkan penyebaran varian Omicron.

"Thailand antara destinasi pelancongan utama dunia kerana semua tarikan indah dan nilai untuk wang," kata Burin Adulwattana, ketua ekonomi di Bangkok Bank Plc.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 6:30 AM