Imej seorang lelaki disahkan Juan Estaban di atas bot yang terbalik. FOTO Agensi.
Imej seorang lelaki disahkan Juan Estaban di atas bot yang terbalik. FOTO Agensi.
Agensi

Washington: Pemuda dari Colombia ini dan adik perempuannya hanya mahu menemui ibu mereka di Texas, Amerika Syarikat (AS) namun nasib malang mengiringi mereka apabila bot dinaiki karam di laut Caribbean.

Bahkan, Juan Esteban Montoya, 22, berkemungkinan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam tragedi itu manakala pihak berkuasa menghentikan pencarian pada Khamis dengan lima mayat ditemui.

Identiti Juan disahkan pihak berkuasa dan keluarganya pada Jumaat, menurut Washington Post.

Juan kini dalam tahanan kerana memasuki AS secara haram manakala adiknya, María Camila Montoya Caicedo, 18, meninggal dunia.

Kisah mereka meraih perhatian selepas dilapor mengambil bot di Bimini untuk masuk ke AS menerusi Florida secara tidak sah.

Perjalanan berisiko itu bermula pada awal Januari apabila kedua-duanya menaiki penerbangan ke Bahamas dari Colombia.

 Juan Esteban dan adik perempuannya María Camila mengambil risiko untuk menemui ibu mereka. FOTO Agensi.
Juan Esteban dan adik perempuannya María Camila mengambil risiko untuk menemui ibu mereka. FOTO Agensi.

Menurut peguam keluarga itu, dua beradik berkenaan sempat memaklumkan kepada ibu mereka yang 11 tahun tinggal berasingan ketika dalam pelayaran.

Bagaimanapun, tiga hari selepas belayar, Juan ditemui kru bot tunda di perairan Caribbean selepas dilihat duduk di atas bot yang terbalik sambil menggenggam tali.

Dalam keadaan tidak terurus dan dehidrasi, dia memberitahu pihak berkuasa bahawa bot itu yang membawa 40 orang terbalik akibat ombak kuat tidak lama selepas meninggalkan Bimini.

Juan yang dirawat di hospital Florida dan dalam tahanan pihak berkuasa sempadan dilapor semakin pulih. Bagaimanapun, peguam Naimeh Salem yang mewakilinya memaklumkan Juan mengalami trauma selepas melihat ramai orang lemas dalam tragedi itu termasuk adik kesayangannya.

Naimeh juga memohon anak guamnya dipindahkan ke pusat tahanan seawal Isnin dan bercadang memohon parol kemanusiaan yang membolehkan dia dilepaskan untuk bersama ibunya sehingga kes itu selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:30 AM