WILAYAH Asia Tenggara melaporkan peningkatan tertinggi kes harian baharu.
WILAYAH Asia Tenggara melaporkan peningkatan tertinggi kes harian baharu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Masuk ke minggu kedua tahun 2022, dunia terus diserang jutaan kes baharu Covid-19, sebahagian besarnya dicetuskan varian berbahaya Omicron seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lebih 15 juta kes dilaporkan kepada WHO minggu lalu dan badan dunia itu mengakui mungkin jutaan kes tidak direkod.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu sidang media Selasa lalu, varian Omicron masih virus berbahaya terutamanya kepada mereka yang belum divaksin dan majoriti pesakit di hospital adalah golongan berkenaan.

"Sementara vaksin masih berkesan mencegah kematian dan gejala teruk Covid-19, vaksinasi tidak menghalang sepenuhnya jangkitan.

"Lebih banyak jangkitan, lebih banyak dimasukkan ke hospital, lebih banyak kematian, lebih ramai yang tidak boleh bekerja - termasuk guru dan pekerja kesihatan - dan lebih risiko untuk varian baharu muncul yang mungkin lebih mudah menular dan lebih berbahaya daripada Omicron," kata beliau, menambah, jumlah kes kematian global akibat Covid-19 stabil kepada sekitar 50,000 seminggu.

Menurut WHO, kebanyakan wilayah di dunia melaporkan peningkatan kes kecuali Wilayah Afrika yang mencatat penurunan kes sebanyak 11 peratus.

Wilayah Asia Tenggara melaporkan peningkatan tertinggi kes harian baharu Covid-19 minggu lalu iaitu 418 peratus diikuti Wilayah Pasifik Barat, 122 peratus dan Wilayah Mediterranean Timur, 86 peratus.

Menurut KKM dalam satu kenyataan akhbar 11 Januari 2022, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Varian yang Dibimbangi (VOC) dan Varian yang Mempunyai Kepentingan (VOI) adalah sebanyak 5,760 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 5,740 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Bagi VOC, 5,240 kes varian Delta; 253 kes varian Omicron; 233 kes varian Beta; dan 14 kes varian Alpha.

Sementara itu, kes harian baharu Covid-19 Malaysia masih dalam lingkungan empat angka dan kelmarin Khamis 13 Januari 2022, KKM melaporkan sebanyak 3,684 lagi kes, menjadikan kes kumulatif sebanyak 2,798,917.

Berikut adalah data kes harian baharu bagi tempoh rangkuman mingguan (8 Januari hingga 13 Januari 2022): 8 Januari (3,251), 9 Januari (2,888 ), 10 Januari (2,641), 11 Januari (3,175), 12 Januari (3,198) dan 13 Januari (3,684).

Dengan kes kumulatif sebanyak 2,798,917 ini, Malaysia kekal di tangga 21 daripada 222 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Filipina (3,092,409 kes) dan Belanda (3,465,463 kes).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kelmarin, daripada 3,684 kes harian baharu, hanya 34 kes (0.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 sementara 3,650 kes (99.1 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sebanyak 3,292 lagi kes sembuh pesakit Covid-19 dilaporkan kelmarin, menjadikan kes kumulatif sembuh kini sebanyak 2,726,891 (97.4 peratus).

Di Unit Rawatan Rapi (ICU), terdapat sebanyak 178 kes yang disahkan Covid-19, dan 70 kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt sepanjang tempoh rangkuman ini masih bawah 1.00, seperti berikut: 8 Januari (0.97), 9 Januari (0.98), 10 Januari (0.98), 11 Januari (1.00), 12 Januari ( 0.99) dan 13 Januari (1.00).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 13 Januari 2022 ialah Kuala Lumpur (1.08), Sabah 1.07 dan Putrajaya 1.05.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sementara itu, menurut KKM, bermula 25 November 2021 sehingga 11 Januari 2022, terdapat sebanyak 16 kluster melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi.

Daripada 16 kluster tersebut, tujuh (7) kluster melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron, enam (6) kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS) dan tiga (3) kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Sementara itu, setakat 13 Januari 2022, terdapat sebanyak 178 kluster aktif di Malaysia. Secara keseluruhan sebanyak 6,192 kluster dikesan dan 6,014 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh rangkuman, berdasarkan data KKM, sebanyak 32 kluster baharu dilaporkan dan kluster terbanyak adalah tempat kerja, 10 kluster (31.3 peratus) dan pendidikan, 7 kluster (21.9 peratus), diikuti komuniti, 6 kluster (18.8 peratus).

KKM melaporkan tiga (3) kluster import melibatkan jemaah umrah yang kembali ke tanah air dari Arab Saudi, sepanjang tempoh rangkuman ini, seperti berikut: 8 Januari - Jalan Dua Saudi (Machang, Kelantan); 11 Januari - Dah Kampung Pegawai Saudi (Kota Setar, Kedah) dan 13 Januari - Pasdec Perdana Saudi (Raub, Pahang).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 7:30 AM