FAKTOR rentas negeri dikaitkan dengan peningkatan kes harian baharu. FOTO BERNAMA
FAKTOR rentas negeri dikaitkan dengan peningkatan kes harian baharu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jangkaan untuk melihat kes harian baharu Covid-19 terus berkurangan selepas rekod sekitar 4,000 kes pada pertengahan minggu ini ternyata meleset apabila angka jangkitan mula meningkat sedikit demi sedikit.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan 23 Oktober hingga 28 Oktober 2021), kes paling rendah dilaporkan adalah pada 25 Oktober iaitu 4,782 kes. Kali terakhir Malaysia merekod kes harian baharu sekitar 4,000 kes adalah pada 22 Jun 2021 iaitu sebanyak 4,743 kes.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes harian baharu sebanyak 6,377 kes (termasuk 32 kes import), menjadikan kes kumulatif Covid-19 negara kini meningkat kepada 2,454,749 kes.

Trend kes harian meningkat ketara selepas rekod kes pada 25 Oktober 2021 sehingga kelmarin, 28 Oktober.

Berikut rekod kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan 23 Oktober hingga 28 Oktober 2021: 23 Oktober - 5,828 kes, 24 Oktober - 5,666 kes, 25 Oktober - 4,782 kes, 26 Oktober - 5,726, 27 Oktober - 6,148 kes dan 28 Oktober - 6,377 kes.

Faktor rentas negeri yang dibenarkan sejak 11 Oktober lepas dikaitkan dengan peningkatan kes harian baharu Covid-19 dalam negara sejak akhir-akhir ini.

Untuk tempoh rangkuman mingguan ini, Selangor menunjukkan peningkatan kes sehingga empat angka, seperti berikut: 23 Oktober (1,037 kes), 24 Oktober (1,077 kes), 25 Oktober (756 kes), 26 Oktober (923 kes), 27 Oktober (1,213 kes) dan 28 Oktober (1,414 kes).

Untuk kes sembuh pula, kelmarin KKM melaporkan sebanyak 6,637 kes, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,354,622 kes (95.9 peratus).

Data COVIDNOW KKM sehingga pukul 11:59 malam 28 Okt 2021 menunjukkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan sebanyak 71,358 kes.

Ini berbanding kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan pada 28 September 2021 iaitu 174,492 kes.

Dengan kes kumulatif 2,454,749 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Filipina (2,772,491 kes) dan Ukraine (2,851,804 kes).

Sebanyak 500 kes pesakit memerlukan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat kelmarin dan 207 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk kes kematian, jumlah dalam negara meningkat kepada 28,769 kes, apabila sebanyak 95 lagi kes kematian dilaporkan kelmarin.

Sementara itu, daripada 6,377 kes harian baharu yang dilaporkan kelmarin, sebanyak 101 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 sementara 6,276 kes (98.4 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt , ia masih di bawah kadar 1.0 seperti berikut: 23 Oktober (0.87), 24 Oktober (0.88), 25 Oktober (0.89), 26 Oktober (0.91), 27 Oktober (0.94) dan 28 Oktober (0.95).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 28 Oktober adalah Negeri Sembilan (1.04), Kuala Lumpur (0.99) dan Melaka (0.98).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Mengenai mutasi spike protein Covid-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan kelmarin, sebanyak 261 kes baharu yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC), iaitu 259 kes varian Delta (B.1.617.2); dan dua (2) kes varian Beta (B.1.351).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 2,645 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 2,625 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Sehingga 28 Oktober 2021, jumlah kluster yang masih aktif di Malaysia terus menurun kepada 474 kluster. Secara keseluruhannya, terdapat 5,752 kluster di kesan di negara ini dan 5,278 kluster daripadanya ditamatkan.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, berdasarkan laporan KKM, jumlah kluster baharu menurun kepada hanya 35 kluster (63 kluster baharu pada rangkuman minggu lalu 16 Oktober hingga 22 Oktober 2021). Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 22 kluster (62.8 peratus), diikuti kluster komuniti 5 kluster (14.3 peratus) dan kluster pendidikan juga 5 kluster (14.3 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:05 AM