Penjaring terbanyak, Baddrol, Muhammad Hakimi hanya ledak lima gol.
Penjaring terbanyak, Baddrol, Muhammad Hakimi hanya ledak lima gol.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menuju minggu terakhir saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan melabuhkan tirainya Ahad ini, timbul persoalan mengenai prestasi hambar penyerang tempatan terutama penggempur Harimau Malaya.

Berdasarkan senarai penjaring terbanyak Liga Super, sembilan kedudukan teratas didominasi tonggak import dengan ayam tambatan Selangor FC, Ifedayo Olusegun memimpin carta menerusi 25 gol musim ini.

Tonggak Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar dan pemain Terengganu FC, Muhammad Hakimi Abdullah muncul antara dua pemain tempatan yang berada dalam kelompok 10 hingga 14 terbaik dengan masing-masing mengumpul lima gol, namun harus diingat kedua-duanya bukanlah beraksi di posisi penyerang.

Sebaliknya Baddrol adalah pemain tengah bertahan manakala Hakimi sayap lincah yang bijak mengambil peluang terhidang.

Begitupun, persoalannya di manakah hilangnya penyerang tulen yang sepatutnya berada dalam senarai 10 terbaik musim ini seperti mana dilakukan Shahril Fikri pada musim lalu dengan 10 gol ketika bersama Perak FC.

Prestasi buruk turut direkodkan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang hanya mampu mencetak empat gol buat menceritakan betapa 'nazaknya' jentera serangan skuad Harimau Malaya apabila pemain terbabit dipanggil beraksi di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, rekod lebih baik dicatatkan dalam saingan Liga Perdana apabila terdapat tiga penyerang tempatan yang berjaya meledak lebih daripada lima gol semusim iaitu Nurshamil Abd Ghani dari pasukan Kelantan FC dan pemain muda skuad projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman dengan lapan gol.

Bekas ketua pasukan negara, Zaquan Adha Abdul Radzak turut cemerlang bersama Negeri Sembilan FC apabila meledak tujuh gol buat menandakan betapa sentuhannya masih berbisa.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam yang juga pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, senario itu berlaku kerana sikap sebahagian besar pengurusan kelab di Liga M yang mahukan keputusan segera daripada memikirkan soal pembangunan.

Katanya, kesan negatif itu akhirnya bakal memberi impak kepada skuad Harimau Malaya yang jelas kelihatan tidak memiliki taring untuk berentap dan mencabar negara lain.

"Mungkin jurulatih negara, Tan Cheng Hoe boleh memberi peluang kepada pemain dari Liga Perdana untuk memperkuatkan pasukan negara berbanding mengharapkan pemain di Liga Super yang tidak perform.

"Kita kena berani mencuba dan beri peluang walaupun mungkin pemain itu masih muda. Perlu diingat, pada zaman kegemilangan Malaysia dulu pun, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan beberapa pemain lagi pemain muda yang diberi peluang.

"Tapi disebabkan ada keberanian waktu itu, mereka akhirnya matang dan mampu memberi sumbangan untuk jangka panjang buat negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:01 AM