PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiada jalan pintas sebaliknya perlu bekerja keras bersaing dengan tonggak import bagi memperolehi minit permainan dan cuba menjaringkan gol untuk kelab.

Demikian nasihat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kepada barisan penyerang tempatan yang dilihat agak tumpul pada musim ini apabila kebanyakan penggempur utama di dominasi oleh tonggak import.

"Memang ada rasa bimbang juga bila nampak tak banyak penyerang tempatan mampu jaringkan gol. Sebagai jurulatih, nasihat saya kepada pemain tempatan adalah sentiasa bekerja keras ketika sesi latihan dan bersedia daripada segi fizikal dan mental.

"Pemilihan pemain tempatan untuk diturunkan adalah terpulang kepada jurulatih kelab masing-masing. Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, saya tak boleh mencampuri hal pengurusan kelab," kata ketika dihubungi.

Cheng Hoe berkata, ketika isu penyerang tulen sering diperkatakan, beliau juga mengambil serius prestasi barisan pemain tempatan di posisi lain.

"Saya faham ramai yang mengatakan kelemahan utama kita (Harimau Malaya) adalah di bahagian serangan. Tapi saya juga ambil berat prestasi pemain tempatan di bahagian lain seperti pertahanan.

"Dalam bola sepak kita memerlukan semua posisi yang seimbang, tak boleh harapkan bahagian serangan sahaja," katanya.

Semalam Arena Metro melaporkan prestasi hambar penyerang tempatan terutama penggempur Harimau Malaya ketika menuju minggu terakhir saingan Liga Malaysia (Liga M).

Berdasarkan senarai penjaring terbanyak Liga Super, sembilan kedudukan teratas di dominasi tonggak import dengan ayam tambatan Selangor FC, Ifedayo Olusegun memimpin carta menerusi 25 gol musim ini.

Tonggak Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar dan pemain Terengganu FC, Muhammad Hakimi Abdullah muncul antara dua pemain tempatan yang berada dalam kelompok 10 hingga 14 terbaik dengan masing-masing mengumpul lima gol, namun kedua-duanya bukanlah beraksi di posisi penyerang.

Penyerang berstatus tulen paling terdekat adalah tonggak naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang hanya mampu mencetak empat gol sekali gus menceritakan betapa bermasalahnya jentera serangan skuad Harimau Malaya apabila pemain terbabit dipanggil beraksi di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:08 PM