BERNAMA

Larut: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memberi penjelasan lanjut mengenai definisi tanda atau logo "tiada babi" yang dipamer di premis makanan.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, logo atau tanda itu seolah-olah menunjukkan makanan di premis berkenaan berstatus halal dan jika dibiarkan boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat pelbagai kaum, agama dan bangsa di negara ini.

"Saya sudah arahkan pegawai untuk melihat kembali supaya tiada muslihat oleh pemilik premis makanan dari segi tanda dipamerkan.

"Bagi pengguna Islam premis mempamerkan tanda 'pork free' (tiada babi), tidak ada logo halal... janganlah masuk sebab mereka buat tanda itu mungkin untuk kaum lain yang tidak makan khinzir," katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 54 ketua sesi 2016/2017 bagi kawasan Parlimen Larut di Sungai Bayor di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, tindakan tegas akan diambil terhadap premis makanan mempamer logo halal tetapi menjual makanan tidak halal.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan perlu diambil terhadap premis makanan yang mengelirukan umat Islam dengan mempamerkan tanda "tiada babi" seolah-olah makanan yang disediakan di premis itu berstatus halal.

Beliau berkata hanya premis makanan yang mempamer sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh dikunjungi umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 10:29 PM