KECEDERAAN dialami mangsa selepas diserang buaya ketika menjala udang. FOTO Norsyazwani Nasri
KECEDERAAN dialami mangsa selepas diserang buaya ketika menjala udang. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


Kota Samarahan: Demi menyelamatkan anak, seorang bapa mempertaruhkan nyawa dengan melawan buaya yang menyerang anaknya ketika menjala di Sungai Batang Samarahan di Kampung Sungai Mata, di sini, petang semalam.

Joeng Seman, 64, berkata, dalam kejadian jam 5 petang itu, dia ke sungai menjala udang bersama anak, Mohd Esa Joeng, 35, dan adik ipar anaknya, Hanafi Eddie, 25.

"Ketika kejadian, anak saya berada dalam sungai untuk menarik jala yang tersangkut.

"Secara tiba-tiba buaya sepanjang dua meter menyerang anak saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Joeng berkata, dia yang terkejut melihat kejadian itu, terjun ke dalam sungai membantu Mohd Esa bagi mengelak reptilia ganas menarik anaknya ke tengah sungai.

"Ketika itu saya hanya memikirkan nyawa anak. Saya memeluk badan dia dengan kuat dan dalam keadaan kelam-kabut itu saya mencucuk mata buaya.

"Buaya itu akhirnya melepaskan gigitan sebelum hilang dari pandangan," katanya.

Katanya, disebabkan serangan buaya itu, anaknya mengalami kecederaan di paha kiri dan lengan kanan.

"Saya dibantu Hanafi mengangkat anak yang cedera ke dalam perahu sebelum dibantu penduduk kampung ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan.

"Kami turun ke sungai menggunakan perahu dan mula menjala udang jam 2 petang. Ketika kejadian, kami sudah memperoleh hasil udang yang banyak dan merancang mahu balik," katanya.

Menurutnya, sejak menjadi nelayan sungai 30 tahun lalu, ini adalah kali pertama menjadi mangsa serangan buaya.

"Setiap kali turun ke sungai mencari rezeki, memang banyak buaya dilihat di sungai ini, namun sebelum ini tidak pernah mengganggu kami.

"Walaupun trauma, saya bersyukur kerana anak hanya cedera ringan dalam kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 4:14 PM