MAKLUMAT pada cip yang ditanam di bawah kulit dapat diimbas menggunakan telefon pintar. FOTO Agensi
MAKLUMAT pada cip yang ditanam di bawah kulit dapat diimbas menggunakan telefon pintar. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Seorang doktor di Novosibirsk, Rusia digelar Doktor Cip oleh media negara itu kerana mempunyai beberapa cip kecil yang 'ditanam' di bawah kulit untuk membantunya menjalankan tugas harian dengan lancar.

Alexander Volchek, seorang pakar obstetrik dan genekologi mengumumkan dia menanam cip kad bank di lengannya dengan harapan dapat membantu membuat pembayaran dengan lebih mudah.

Oddity Central melaporkan usaha pernah dilakukan banyak pihak di negara itu sebelum ini, tetapi gagal dan Volchek berharap menjadi orang pertama berjaya berbuat demikian.

Ia adalah tambahan kepada koleksi implan subdermal (bawah kulit) yang dimulakannya sejak 2014.

Dia mempelajari mengenai teknik itu hampir sedekad lalu selepas membaca satu artikel.

Doktor mendapat tahu bahawa implan berkenaan digunakan perubatan veterinar pada pertengahan 2000.

Dia mengetahui bahawa cip seperti itu dikeluarkan di Amerika Syarikat dan mula menjalankan ujikaji terhadap diri sendiri untuk penggunaan implan berkenaan.

Kisah mengenai doktor itu mula dilaporkan media Rusia pada 2017 ketika dia menanam beberapa cip kecil di tangannya.

Alexander mempunyai cip menggantikan kad digunakan sebagai akses keluar dan masuk tempat kerjanya di hospital.

Cip berkenaan juga menyimpan maklumat kenalannya yang membolehkan dia berkongsi butiran itu terus ke telefon pintar menggunakan sambungan komunikasi medan dekat (NFC).

Melaluinya, dia menyimpan semua kata laluannya tanpa melakukan sebarang proses penyulitan (encryption).

"Untuk bekerja, kamu perlu mengeluarkan dompet, mengambil kad, menggunakannya dan menyimpan kembali, tidak boleh hilang.

"Isteri saya menggunakan cip ini selepas kehilangan empat kad.

"Hanya perlu letakkan tangan pada pengimbas dan tidak perlu infrastruktur lain di sekeliling anda, ia akan jadi lebih mudah," katanya.

Selama bertahun-tahun, Volchek beralih dari pengamal implan cip terawal kepada penyokong aktiviti itu dengan melakukan 'penanaman' implan itu kepada lebih 200 yang lain termasuk isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:30 AM