ZIZI ketika menjadi tetamu pada program Quran D’Hati.
ZIZI ketika menjadi tetamu pada program Quran D’Hati.
ZIZI dalami bacaan ayat suci secara berlagu turut kongsi ilmu dengan peminat
ZIZI dalami bacaan ayat suci secara berlagu turut kongsi ilmu dengan peminat
Sudirman Mohd Tahir


KEJAYAAN beberapa single genre hip hop seperti Siapa Yang Bap Bap, Nak Ke Tak Nak, Boleh Jalan dan Eh menjadikan nama penyanyi popular Zizi Kirana lebih dekat dengan peminat dan pencinta muzik tempatan.

Malah, Zizi, 36, atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil kini adalah antara penyanyi wanita yang sentiasa menjadi rebutan selain dikelaskan sebagai rapper wanita yang mempunyai keunikan tersendiri.

Dalam masa sama, siapa sangka di sebalik genre muzik dibawa Zizi juga pemenang kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) menerusi lagu Eh mempunyai kelebihan dalam mengalunkan lagu nasyid, selawat dan membaca ayat suci al-Quran dengan taranum.

Perkongsian Zizi menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram sejak tahun lalu itu mendapat maklum balas positif selain warganet memuji pendekatan yang digunakannya.

"Tujuan saya berkongsi sebab nak menggalakkan 'followers' di Instagram supaya mereka berani untuk belajar. Siapa mengikuti saya, pasti tahu perjalanan saya macam mana. Apa yang saya kongsi, saya nak mereka juga dapat ilmu itu supaya berani buat.

"Kadang ada juga kawan artis cakap mereka takut, malu nak mengaji dengan alasan sudah lama tak mengaji, jadi mereka tak berani. Justeru, apabila saya memuat naik dan kongsi bacaan dengan taranum, belajar tajwid, membaca surah dan alunan selawat, sekurang-kurangnya ia buat hati orang terbuka untuk lakukan perkara sama.

"Apa dikongsikan adalah untuk semua 'followers' dan peminat untuk turut buat perkara sama dengan kita sama-sama belajar ilmu al-Quran ini," katanya.

Zizi yang muncul pada program Quran D'Hati anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengurusan Dan Muamalah (PMFPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) turut berkongsi bagaimana dia jatuh cinta membaca al-Quran dengan taranum.

"Sebenarnya, sejak di Sabah saya sudah belajar sedikit taranum. Apatah lagi, ibu saudara saya juga bekas qariah di sana. Jadi, dia selalu ajar taranum. Ketika masih di sana, memang mudah nak belajar sebab ada orang terdekat tolong ajarkan. Tapi, sejak berhijrah di Kuala Lumpur, kadang-kadang belajar, ada ketika tidak. Tapi, mengaji diwajibkan oleh keluarga, setiap hari kena belajar.

"Nak dijadikan cerita, tahun lalu baru saya betul-betul belajar semula taranum. Apabila saya berjumpa Ustaz Fakhrul dan lain-lain, mereka banyak berikan sokongan dan saya menjadi lebih semangat nak belajar.

"Alhamdulillah, setakat ini saya sudah belajar taranum Sikah, Rast, Hijjaz dan Soba. Sebab taranum ada banyak, jadi ambil masa untuk belajar sebab lain-lain bunyi. Untuk dapatkan bunyi yang betul kena rajin buat latihan. Sebab itu sekarang saya masih belajar lagi dengan ustaz dan ustazah yang pakar," katanya.

Menurut Zizi, mereka yang menjadikan tempat rujukannya terdiri daripada Ustaz Fakhrul UNIC, Ustaz Fahmi, Ustazah Farha, Ustazah Asni dan Ustaz Tarmizi.

Dalam masa sama, Zizi menekankan perlu belajar tajwid dahulu sebelum mengaji dengan taranum.

"Kalau baca saja dengan taranum, tapi tajwid salah pun tak boleh juga. Jadi, betulkan tajwid dulu baru belajar taranum.

"Diakui ramai juga yang mesej (DM) di Instagram minta saya buat kelas mengaji dalam talian. Tapi, saya pun masih belajar lagi, jadi belum berani untuk mengajar. Namun, untuk kongsi ilmu dan apa yang mereka ingin tahu saya tak keberatan. Nak kata mengajar, saya belum sampai tahap itu.

"Macam dalam program Ngaji On The Go di TV Alhijrah, bacaan saya dibimbing Ustazah Aisyah Baain. Dia bagi surah dan taranum. Terbaharu saya diberi taranum Hijaz dan baca, tapi diajar oleh ustazah. Bagi saya, ia program yang bagus dalam masa sama kita dapat belajar. Cara pembelajaran pun mudah, bukan susah sampai kena 'stress'," katanya.

Zizi yang pernah menyertai pertandingan tilawah al-Quran peringkat Sabah yang mewakili sekolahnya berkata, untuk kekal istiqamah dalam membaca al-Quran adalah perbetulkan niat.

"Pertama sekali, niat kena betul dan buat apa yang diniatkan. Perlahan-lahan baca satu muka surat, kemudian tambah lagi. Apabila kekal macam itu, lama-kelamaan berapa hari selepas itu akan lebih mudah. Apa yang penting semangat.

"Macam saya sendiri, penguat semangat untuk buat semua ini adalah doa mak. Sokongan daripadanya, keluarga, rakan-rakan, malah sejak tahun lalu lagi ramai mendoakan yang baik-baik untuk saya. Jadi, doa mereka siapa tahu sudah dimakbulkan. Malah, mungkin berkat doa mereka juga menjadikan saya lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Imej berhijab

Bercakap mengenai penampilan terbaharunya yang dikatakan sudah berhijab, Zizi berkata, dia sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan mohon doa orang ramai.

"Saya hanya mohon doa pada Allah, itu saja boleh cakap. Saya tak berani nak cakap, hari ini nak berhijrah. Sebab iman kita tidak tetap, sentiasa berbolak-balik. Jadi, lebih baik berdoa dan minta Allah tetapkan hati supaya apa yang kita buat ini kekal istiqamah dan berterusan.

"Saya pun buat secara perlahan-lahan, sebab itu saya tak pernah kongsi di media sosial cakap sudah bertudung. Sebab saya masih belajar, saya tidak mahu perubahan secara mendadak dan tiba-tiba. Jadi, biar saya buat satu persatu supaya ia tidak sementara," katanya.

Ditanya jika imej berhijab itu kekal adakah dia akan bertukar genre lagu, Zizi berkata, Zizi Kirana masih tetap menyanyikan genre hip hop.

"Insya-Allah, kalau penampilan ini berterusan saya tetap akan bawa genre hip hop, sebab ini apa yang saya sudah buat. Cuma mungkin dari segi lagu dan lirik, bukan lagi macam dulu, tapi 'trademark' Zizi Kirana masih sarkastik, kena ada unsur nasihat dan peribahasa dalam lagu saya.

"Jadi, jangan risau genre tetap sama, tapi saya juga akan menyanyikan lagu ketuhanan dan unsur nasihat secara santai. Insya-Allah.

"Akan datang single baharu yang dirakam sendiri di rumah. Saya hantar vokal di studio dan minta mereka proses. Insya-Allah dalam masa terdekat akan dilancarkan. Mengenai kolaborasi dengan UNIC pun sudah ada perancangan, tapi disebabkan keadaan semasa kita ketika ini, ia tergendala lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:00 AM