APABILA terima tawaran lakonan akan teliti skrip, jalan cerita terlebih dulu dalam masa sama untuk kekal relevan.
APABILA terima tawaran lakonan akan teliti skrip, jalan cerita terlebih dulu dalam masa sama untuk kekal relevan.
Syafil Syazwan Jefri


MENJENGAH usia karier 10 tahun, nama pelakon Eyka Farhana tidak lagi asing dalam kalangan peminat dan pengikut drama tempatan.

Sejak mula aktif sebagai pelakon pada 2011, wajah pelakon berusia 26 tahun ini kerap menghiasi kaca TV menerusi pelbagai drama dan watak.

Jika sebelum ini Eyka terbuka untuk menerima apa saja tawaran lakonan, dia kini mula memilih dan meneliti untuk menjaga kualiti lakonannya.

"Dulu, saya tak kisah sangat untuk terima apa juga tawaran lakonan sebab memang nak mencari rezeki dalam bidang ini, tapi bila dah masuk usia sekarang apa yang menjadi keutamaan adalah untuk menjaga kualiti lakonan dan pada masa sama kekal relevan," katanya.

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi berkata, biasanya dia akan meneliti skrip dan jalan cerita terlebih dulu.

"Setiap kali ditawarkan sesuatu watak, saya akan baca dan teliti skripnya. Saya akan fikirkan sedalam-dalamnya. Kalau saya terima, adakah saya boleh membawakan watak itu dengan baik.

"Selain itu, kadang-kadang saya juga melihat siapakah rakan gandingan saya dan bagaimana pasukan produksinya," katanya.

Dalam usia sekarang, Eyka tidak menafikan masih lagi menerima tawaran untuk melakonkan watak sebagai remaja.

"Sebenarnya sejak dulu lagi memang watak yang ditawarkan kepada saya agak terhad kerana wajah dan penampilan saya yang lebih kepada remaja.

"Kalau nak tunggu watak sebagai wanita yang berkahwin atau sudah memiliki anak, mungkin belum ada walaupun saya yakin saya boleh membawakan," katanya.

Menurutnya, pernah timbul rasa tersinggung apabila dia tidak pernah ditawarkan watak sebagai wanita dewasa.

"Pada awal-awal dulu, memang ada terasa hati juga. Tapi, saya fikir semula dan lihat dari sudut positif. Mungkin ini masanya untuk saya terus mengembangkan lagi kemampuan saya membawakan watak sebagai remaja," katanya.

EYKA tidak menafikan masih terima tawaran melakonkan watak remaja.
EYKA tidak menafikan masih terima tawaran melakonkan watak remaja.

Makin serasi dalam Budak Tebing 2

Terbaharu, Eyka kini membintangi drama bersiri Budak Tebing 2 yang juga kesinambungan daripada musim pertama berjudul Budak Tebing.

Membawa watak sebagai Ira, Eyka berkongsi mengenai perkembangan wataknya dalam Budak Tebing 2 arahan Feroz Kader itu.

"Sama seperti dalam musim pertama, saya memegang watak Ira dan masih lagi menetap bersama Laura lakonan Bella Dowanna. Tapi, kali ini akan ada beberapa konflik yang berlaku. Konflik itu sekali gus menimbulkan satu isu besar dan sesuatu yang tidak dijangka berlaku kepada Ira," katanya.

Berkongsi mengenai keserasian antara pelakon-pelakon dalam Budak Tebing 2, Ira berkata, semuanya berjalan dengan sangat lancar kerana keakraban setiap mereka.

"Kali ini, semuanya berjalan lancar dan lebih mudah kerana kami semua sudah saling faham lakonan masing-masing.

"Jadi, secara tak langsung, ketika melangkah masuk ke set Budak Tebing 2, kami dapat menjiwai dan buat lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Selain Eyka dan Bella, Budak Tebing 2 turut dibintangi Adam Lee sebagai Arif, Aedy Ashraf (Tongki), Fariz Isqandar (Yoyol) dan Firdaus Ghufran (Talam).

Musim baharu ini turut dijayakan Fauzi Nawawi (Afendi), Pablo Amirul (Pablo), Syafie Naswip (Paan), Zarina Zainuddin (Sabrina), Nellisa Nizam (Maria), Imran Aqil @ Ijeebster (Pijoy) dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:00 AM