Hanis Aliaa Hidzir

DRAMA bersiri berkisar masalah sosial dalam kalangan remaja, Budak Tebing mendapat perhatian ramai sejak disiarkan.

Dengan rekod 10 juta penonton sepanjang 13 episod bersiaran dalam slot Lestary TV3 tahun lalu, Budak Tebing kini kembali dengan musim terbaharu.

Drama 13 episod ini menyaksikan gandingan semula pelakon utama Adam Lee (Arif), Aedy Ashraf (Tongki), Eyka Farhana (Ira), Bella Dowanna (Laura), Fariz Isqandar (Yoyol) dan Firdaus Ghufran (Talam).

Tidak ketinggalan barisan aktor hebat tanah air seperti Fauzi Nawawi (Afendi), Pablo Amirul (Pablo), Syafie Naswip (Paan), Zarina Zainuddin (Sabrina), Nellisa Nizam (Maria) dan Imran Aqil @ Ijeebster (Pijoy) yang turut memegang watak penting dalam drama ini.

Budak Tebing 2 ialah kesinambungan drama Budak Tebing berkisarkan kehidupan Tongki, Arif dan Talam selepas gagal ke Pulapol (Pusat Latihan Polis). 

Tongki perlu menjaga ayahnya sambil bekerja namun dia sering dikhianati. Arif pula terpaksa menghadapi kesulitan berhadapan dengan Yoyol yang enggan menerima kepulangan Afendi, ayah mereka yang muncul secara tiba-tiba.

Selepas membatalkan hasrat ke London, Laura cuba mencari ibu kandungnya manakala Ira cuba membantu menyelesaikan masalah dua kanak-kanak gelandangan yang akhirnya membawa kepada pendedahan sindiket dan dendam terhadap Budak Tebing.

Menurut pengarah Budak Tebing 2, Feroz Kader beliau tidak menyangka Budak Tebing mendapat sambutan hebat ketika disiarkan pada tahun lalu. 

"Musim kedua ini, kita akan dapat melihat watak Budak Tebing menjadi lebih matang dan penambahbaikan kepada watak Afendi lakonan Fauzi Nawawi dan penampilan watak Pablo yang dijayakan oleh Pablo Amirul," katanya.

Membawa mesej budak bermasalah juga mampu kembali ke jalan benar jika diberi bimbingan, Feroz berharap Budak Tebing 2 membuka mata penonton berhubung isu penderaan kanak-kanak, jenayah dan kekeluargaan yang dipaparkan dalam drama ini.

Jangan ketinggalan menyaksikan Budak Tebing 2 mulai 18 Jun ini setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3 dan iQIYI pada hari yang sama ia ke udara di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 5:52 PM