AEDY Ashraf mahu tingkat mutu lakonan, beri impak dalam watak.
AEDY Ashraf mahu tingkat mutu lakonan, beri impak dalam watak.
Syafil Syazwan Jefri


TEMPOH 20 tahun cukup lama untuk seseorang pelakon menimba pelbagai ilmu serta pengalaman dalam bidang lakonan.

Aedy Ashraf yang memulakan langkahnya sebagai pelakon sejak kanak-kanak kini mahu mencurahkan hasil kerja yang lebih berkualiti.

"Sekarang dah masuk 20 tahun berlakon dan saya mula nampak beberapa peluang untuk saya membawakan watak yang lebih sesuai.

"Sebenarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya sudah mula lebih memilih sebelum menerima sesuatu tawaran," katanya.

Menurutnya, tindakannya itu adalah untuk mencari dan memberi kelainan serta mengelakkan timbul rasa bosan terhadap kerjaya yang sudah menjadi darah dagingnya.

"Untuk memberi lebih perisa dan menambah keghairahan saya dalam berlakon, saya mula memilih benda yang saya suka dan rasa nak buat.

"Saya rasa, apa yang saya lakukan ini memberi impak bukan saja kepada karier seni saya, tetapi juga kehidupan saya," katanya.

Pada masa sama, apa yang dilakukannya itu juga turut memberikan impak kepada watak yang dilakonkannya.

AEDY Ashraf lebih memilih naskhah untuk menjaga kualiti lakonan.
AEDY Ashraf lebih memilih naskhah untuk menjaga kualiti lakonan.

"Selama ini, saya hanya berlakon saja. Mungkin ada watak yang kurang menjadi atau cerita kurang menarik perhatian orang.

"Jadi, sekarang bila saya mula meneliti dan memilih naskhah yang sesuai, saya juga dapat memilih watak serta dengan siapa yang saya ingin bekerjasama," katanya.

Menurut pelakon berusia 24 tahun ini, pemilihan naskhah dan perubahan ini menjadi isu yang mengisi perbualannya dengan sahabat yang juga pelakon sejak zaman kanak-kanak, Syafie Naswip dan Fimie Don.

"Saya pernah membincangkan mengenai perkara ini dengan dua rakan saya iaitu Syafie dan Fimie. Mereka juga berkongsi pendapat sama.

"Ramai pelakon yang berlakon dari zaman kanak-kanak merasakan apa yang berlaku, tapi tak cuba untuk melakukan perubahan. Ia sekali gus membuatkan ramai yang mula rasa bosan dan tak tahu nak buat apa.

"Dalam lakonan, saya berpegang dengan satu prinsip atau teknik iaitu kejujuran. Berlakon perlukan kejujuran supaya penonton nampak impak lakonan kita," katanya.

Walaupun meningkat dewasa, Aedy tidak menafikan terus-menerus menerima tawaran untuk melakonkan watak sebagai remaja.

"Saya suka watak-watak remaja. Walaupun dalam usia sekarang, saya masih lagi boleh membawakan watak sebagai remaja berusia 17 tahun.

SALAH satu babak dalam drama bersiri Budak Tebing 2 lakonan Aedy.
SALAH satu babak dalam drama bersiri Budak Tebing 2 lakonan Aedy.

"Menerusi watak sebagai remaja, saya nak sampaikan sesuatu kepada remaja di luar sana supaya mereka dapat kaitkan dengan diri mereka," katanya.

Menurutnya, dia ingin watak yang dibawanya menjadi contoh positif buat penonton yang menonton.

"Kalau personaliti diri saya yang sebenar, saya lebih 'introvert'. Jadi, saya lebih selesa jika penonton dapat mencontohi watak yang saya bawakan berbanding diri saya sendiri.

"Kerana itulah saya begitu menginginkan satu watak yang ada impak dan pada masa sama, dapat menyalurkan mesej," katanya.

Berkongsi mengenai lakonan sebagai remaja, Aedy juga pernah melalui fasa di mana dia dikatakan tidak mampu membawa watak yang lebih dewasa.

"Tak ada masalah, sebab bila watak muda lebih lama, itu pun satu peluang juga.

"Satu hari nanti, saya juga sama seperti pelakon-pelakon lain, akan memegang watak sebagai bapa, datuk dan sebagainya.

"Tapi, buat masa sekarang, saya lebih seronok membawa watak sebagai remaja dan saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Terbaru, Aedy kini bergandingan dengan beberapa pelakon muda lain dalam musim baru drama bersiri Budak Tebing 2.

"Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Tonki. Kalau kita membandingkan antara musim pertama dan kedua, ada banyak kelainan yang ditampilkan.

"Kalau dalam Budak Tebing, temanya adalah persahabatan, manakala dalam Budak Tebing 2 temanya lebih kepada kekeluargaan.

"Jadi, dalam musim kedua ini, penonton dapat melihat bagaimana Tonki lebih mengambil berat mengenai keluarganya," katanya.

Selain Aedy, Budak Tebing 2 juga dibintangi Adam Lee, Eyka Farhana, Bella Dowanna, Firdaus Ghufran dan Fariz Isqandar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:50 AM