Redzuan Muharam


Shah Alam: "Alhamdulillah, dia tidak banyak meragam sepanjang berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) walaupun beberapa kali ada mengajak pulang ke rumah tetapi saya cuba alihkan perhatiannya," kata bekas pesakit Covid-19, Ahmad Akhmal Hafiz Azli.

Dia yang juga bilal di Masjid Sultan Salahuddin. Abdul Aziz Shah (MSSAAS) Shah Alam berkongsi kisah anaknya, Iman Abduh, 3, yang mendapat perhatian netizen selepas tular video dimuat naik isterinya, Yusairah Hadzrami, 25, di TikTok.

Video itu menunjukkan keletah Iman Abduh sepanjang menjalani kuarantin di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang bersama Ahmad Akhmal, 26.

Bercerita lanjut, Ahmad Akhmal yang menetap di Seksyen 9 di sini berkata, dia dan Iman Abduh dibawa ke PKRC MAEPS pada Rabu lalu selepas disahkan positif Covid-19 dua hari sebelum itu.

Menurutnya, selain dia dan Iman Abduh , isterinya turut positif Covid-19 namun menjalani kuarantin di rumah bagi menjaga anak bongsu, Iman Yusuf, 7 bulan.

"Selepas dapat tahu saya menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit Covid-19, saya terus ke sebuah klinik swasta bagi menjalani ujian RTK Antigen (RTK-Ag) sebelum bersama isteri dan anak melakukan saringan RT-PCR (PCR).

"Hasil keputusan ujian itu menunjukkan hanya saya, isteri dan anak sulung saja positif.

"Ikutkan saya mahu ke pusat kuarantin itu seorang saja kerana memikirkan Iman Abduh yang masih kecil namun akhirnya membawanya bersama walaupun dia pada mulanya bingung kerana mengikut saya tanpa ibu dan adiknya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahmad Akhmal mengakui bimbang bagaimana untuk menguruskan Iman di PKRC MAEPS kerana anaknya itu tidak pernah berjauhan dengan isterinya dalam tempoh lama.

Bagaimanapun, Ahmad Akhmal lega apabila Iman Abduh dapat dikawal dan tidak banyak meragam dengan bantuan penghuni lain yang rajin melayannya.

Katanya, dia dan anaknya itu juga dapat menyesuaikan diri dengan suasana dalam PKRC MAEPS selepas dua hari berada di situ.

"Ikutkan Iman Abduh memang lebih rapat dengan saya namun dalam hal tertentu, dia akan minta dengan ibunya dan hanya isteri saja yang dapat lakukannya.

"Kerisauan saya sebelum ke PKRC jika dia menangis di tengah malam ketika pesakit lain sedang tidur dan siapa boleh menjaganya ketika saya solat serta ke tandas.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ditempatkan di dewan menempatkan warga emas jadi ramai yang melayan kerenah Iman Abduh dan kebetulan, saya ada bawa permainannya dari rumah jadi itu yang membuatkan dia leka bermain," katanya.

Ahmad Akhmal berkata, dia bersyukur kerana sudah dibenarkan pulang ke rumah pagi semalam selepas enam hari menjalani kuarantin di PKRC MAEPS Serdang.

Katanya, dia agak trauma namun dia cuba positif dan reda dengan menganggap apa yang berlaku sebagai ujian daripada Allah.

"Saya adalah seorang daripada petugas yang dilantik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun lalu untuk menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

"Pengalaman melakukan tugasan itu memberi saya peluang menyaksikan kesedihan waris apabila tidak dapat melihat jenazah insan tercinta dengan lebih dekat yang membuatkan saya lebih berhati-hati dan sering berdoa supaya dijauhkan daripada wabak supaya tidak melalui perkara sama.

"Bagaimanapun, saya diuji juga dengan penyakit Covid-19 tetapi bersyukur diberi kesembuhan dan berterima kasih kepada semua petugas kesihatan kerana memberi layanan baik sepanjang berada di PKRC MAEPS tidak lupa mereka yang mendoakan," katanya.

Iman asyik bermain dengan koleksi Ultraman ketika menjalani tempoh kuarantin di PKRC MAEPS Serdang dan (gambar kanan) Ahmad Akhmal bersama Iman. Foto Ihsan Ahmad Akhmal Hafiz Azli
Iman asyik bermain dengan koleksi Ultraman ketika menjalani tempoh kuarantin di PKRC MAEPS Serdang dan (gambar kanan) Ahmad Akhmal bersama Iman. Foto Ihsan Ahmad Akhmal Hafiz Azli

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 12:28 PM