COOLS beraksi cemerlang ketika bertemu UAE. FOTO FAM
COOLS beraksi cemerlang ketika bertemu UAE. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain pertahanan kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools menyeru rakan sepasukan bangkit semula dalam dua baki aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam dan Thailand selepas ini.

Cools, 24, yang meraih caps pertama bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa ketika tewas 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin, enggan menjadikan kekalahan itu sebagai penamat kepada misi negara untuk layak ke Piala Asia serta pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Katanya, kekecewaan yang dialami perlu dibuang dan mengambilnya sebagai pengajaran berguna untuk tampil lebih mantap terutama apabila turun berdepan Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai, 11 Jun ini.

"Kecewa (kalah kepada UAE) tetapi kita belajar daripadanya. Yang paling penting, kita tidak pernah berputus asa...kita masih ada dua perlawanan lagi!," katanya di laman sosial milik pemain FC Midtjylland di Liga Denmark itu.

Untuk rekod, selain beraksi di Denmark, Cools juga berpengalaman merasai saingan Liga Belgium serta turut membuat penampilan di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) beberapa kali ketika menyarung jersi Club Brugge dan Midtjylland.

Dia juga pernah menyarung jersi skuad remaja Belgium B-18, B-19 dan B-21 dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum memutuskan untuk memilih skuad Harimau Malaya di peringkat senior.

Begitupun penampilan sulung Cools bersama Malaysia di peringkat senior sedikit tercalar apabila skuad negara tumbang 0-4 kepada UAE, di mana dia diletakkan di pertahanan tengah bersama Aidil Zafuan Abd Radzak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:07 PM