Rakyat Palestin duduk melihat kediamannya musnah selepas diserang tentera Israel. FOTO AFP
Rakyat Palestin duduk melihat kediamannya musnah selepas diserang tentera Israel. FOTO AFP
AFP

Gaza: Serangan Israel yang berlaku sejak Isnin minggu lalu menyebabkan 38,000 penduduk Gaza terpaksa melarikan diri dan 2,500 daripadanya hilang tempat tinggal.

Serangan turut memusnahkan infrastruktur penting di Gaza, dengan pihak berkuasa memberi amaran bekalan bahan api hanya mencukupi untuk tempoh dua atau tiga hari lagi.

Malah, angka korban rakyat Palestin akibat serangan agresif pengeboman oleh tentera Zionis Israel di Semenanjung Gaza terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 212 orang.

Pihak berkuasa tempatan Gaza berkata, mangsa maut termasuk 61 kanak-kanak dan 36 wanita.

Israel pula dilaporkan mengesahkan 10 orang, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh di kawasan dikuasainya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan Israel itu menyebabkan puluhan ribu penduduk Gaza terpaksa melarikan diri dan hilang tempat tinggal.

Seorang penduduk Gaza, Abu al-Awf, 20, berkata, dia bersedia untuk menempuhi waktu malam yang menakutkan.

"Kami tidak mempunyai perkara lain untuk dibuat selain duduk di rumah.

"Kematian boleh berlaku bila-bila masa. Pengeboman amat hebat dan ia tidak kenal sesiapa," katanya.

Dalam pada itu, rejim Zionis, pada Isnin, melancarkan artileri ke arah Lubnan susulan serangan roket dari negara itu ke Israel.

Tentera Israel berkata, enam cubaan serangan yang gagal melintasi Israel itu dikenal pasti dari Lubnan.

"Pasukan artileri menembak ke arah sumber pelancaran terbabit," katanya dalam kenyataan.

Sumber ketenteraan Lubnan memberitahu bahawa tiga roket dilancarkan dari selatan Lubnan, di kawasan berhampiran sempadan, ke arah Israel.

Sebelum itu, tunjuk perasaan membantah serangan tentera Israel terhadap pejuang Palestin di Semenanjung Gaza, diadakan di selatan Lubnan yang menjadi kubu musuh Israel iaitu Hizbullah.

Terdahulu, seorang penunjuk perasaan warga Lubnan yang juga anggota Hizbullah, terbunuh dalam serangan Israel minggu lalu, ketika demonstrasi di sempadan negara itu.

Ia selepas sekumpulan penunjuk perasaan golongan muda cuba melintasi sempadan di utara Metula, lapor media Lubnan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:40 AM