TENTERA Israel menutup satu kawasan di bandar Shfaram susulan serangan roket dilancarkan dari Lubnan. FOTO AFP
TENTERA Israel menutup satu kawasan di bandar Shfaram susulan serangan roket dilancarkan dari Lubnan. FOTO AFP
AFP

Beirut: Empat roket dilancarkan dari selatan Lubnan ke arah Israel pada Rabu, tindakan kali ketiga seumpamanya dalam tempoh seminggu, sumber tentera Lubnan memberitahu AFP.

Roket itu dilancarkan berhampiran kampung Seddiqine di daerah Tyre, menurut sumber itu, tanpa menyatakan pihak yang bertanggungjawab.

Tentera Israel mengesahkan serangan itu, dan membalasnya dengan tembakan artileri.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Ini adalah kejadian kali ketiga roket dilancarkan dari wilayah Lubnan ke arah Israel sejak konflik antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza yang tercetus 10 Mei lalu.

Pada petang Selasa, roket dilancarkan dari kawasan ladang Shebaa di selatan Lubnan tetapi ia tidak sempat melintasi sempadan.

Israel bertindak balas dengan melancarkan tembakan artileri.

Khamis lalu, tiga roket dilancarkan berhampiran kem pelarian Palestin Rashidiyeh ke arah Israel.

Menurut Israel, roket itu jatuh di laut.

Sumber rapat kepada Hizbullah, seteru kepada Israel di Lubnan, menafikan terbabit dalam serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 10:51 AM